Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar (gambar), berkata Umno Selangor akan bekerjasama dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor dalam usaha meningkatkan jumlah pengundi Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau berkata, kerjasama itu juga untuk membolehkan Barisan Nasional (BN) menawan kembali Selangor daripada Pakatan Rakyat .
"Selain kerjasama Perkasa, kita juga memerlukan usaha rakan komponen BN bagi membantu meningkatkan pengundi kaum lain," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Tahunan Perkasa Selangor, yang turut dihadiri Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, di Shah Alam, malam tadi.
Noh berkata, terdapat 49 peratus pengundi Melayu di Selangor manakala bakinya pengundi bukan Melayu.
Beliau berkata, usaha meningkatkan pengundi BN akan digerakkan mulai tahun hadapan selepas semua parti komponen menyelesaikan pemilihan parti masing-masing tahun ini.
Sementara itu, Ibrahim berkata, Perkasa menubuhkan Jawatankuasa Pendaftar Pemilih bagi meningkatkan jumlah pengundi Melayu.
Setakat ini, katanya, kira-kira 2.5 juta orang Melayu di seluruh negara masih belum mendaftar sebagai pemilih dan mereka adalah antara lima juta pengundi baharu yang layak mengundi pada PRU14.
Sehubungan itu, katanya, beliau mengarahkan Perkasa Selangor supaya meningkatkan usaha mendaftar pengundi Melayu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan