Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang berusaha menyusun dan menstruktur semula BernamaTV untuk menjadikan ia saluran berita yang lebih berdaya saing.
Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata beberapa aspek penting diberi perhatian termasuk penyiaran berita mestilah terkini atau bersifat 'real-time', selain laporan yang tepat dan seimbang.
"Kami juga kaji tentang konsep saluran berita Bernama. Apakah satu saluran berita dalam pelbagai bahasa itu munasabah dan praktikal. Adakah ia memberi kesan kepada aliran penonton dan sama ada ia praktikal untuk diteruskan.
"Saluran berita sekarang ini tidak boleh mengikut satu platform sahaja. CNN tidak hanya dibuat berdasarkan platform TV tetapi 'SMS alert' dan penyampaian dalam internet. Ini antara perkara asas menstruktur kembali BernamaTV," katanya menjawab soalan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.
Raime ingin tahu kos perbelanjaan operasi, pentadbiran dan pengurusan BernamaTV sejak 2008 dan apakah pembaharuan yang telah dan akan dilaksanakan supaya ia berdaya saing dengan saluran berita antarabangsa.
Ahmad Shabery menjelaskan BernamaTV merupakan anak syarikat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) secara usahasama dengan pihak swasta namun pengurusannya telah diambil alih sepenuhnya oleh agensi berita itu pada 2011.
Katanya, kos operasi BernamaTV pada 2008 ialah sebanyak RM25.4 juta, 2009 (RM21.5 juta), 2010 (RM23.8 juta) dan RM20 juta pada 2011.
"Sehingga sekarang beberapa usaha telah dibuat untuk mengurangkan kos itu. Dalam tahun 2013, kos operasi bulanan adalah pada purata RM1 juta sebulan.
Sehingga Ogos, jumlah perbelanjaan adalah kira-kira RM8 juta," katanya.
Menjawab soalan Raime mengenai langkah kerajaan memastikan BernamaTV memberi liputan yang seimbang dan tidak memihak termasuk melibatkan pemimpin dan parti politik pembangkang, Ahmad Shabery berkata ia telah cuba dilaksanakan.
"Contohnya pemilihan CEC DAP baru-baru ini, kami telah memohon untuk dibenarkan membuat liputan dan hasilnya liputan yang dibuat agak menyeluruh," katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Shabery berkata aspek keseimbangan pemberitaan tidak hanya melibatkan liputan parti politik semata-mata tetapi berita-berita rakyat juga perlu diperbanyakkan.
Menjawab soalan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) sama ada parti-parti politik boleh diberi lesen televisyen masing-masing, Ahmad Shabery berkata kerajaan tidak bercadang berbuat demikian.
Katanya ini kerana belum ada negara yang membenarkan setiap parti politik memiliki stesen televisyen masing-masing. Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan