Pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, yang menyaksikan hanya seorang pemimpin Melayu terpilih pada Kongres Khas parti itu semalam, dilihat sekadar mengaburi mata rakyat bagi menggambarkan kononnya kepimpinan DAP terdiri daripada berbilang kaum.

Penganalisis politik Datuk Zainal Abidin Borhan, ketika dihubungi, berkata dengan hanya menempatkan seorang calon Melayu menduduki kerusi CEC tidak cukup membuktikan DAP sebuah parti berbilang kaum.

NONEAnggota Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari (kanan), yang berada pada kedudukan terakhir dalam senarai 20 anggota CEC pada pemilihan Kongres DAP Kebangsaan 2012, kali ini mendapat tempat ke-12 dengan 1,132 undi.

Pemilihan semula itu diadakan berikutan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak mengiktiraf CEC yang dibentuk selepas pemilihan parti berkenaan pada Disember tahun lepas ekoran isu berkaitan perwakilan dan masalah teknikal semasa pemilihan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kasim menyifatkan keputusan pemilihan CEC berkenaan juga membuktikan DAP lebih tebal fahaman dan amalan nepotismenya apabila pasangan ayah-anak mendapat tempat utama dalam parti.- Bernama