HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Jun 2020

Adakah PKPB dilanjutkan?

Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad

1. DALAM masa beberapa hari lagi, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat sidang media bagi mengumumkan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan berakhir pada 9 Jun 2020 (Selasa) atau disambung lagi untuk fasa seterusnya.

Seluruh negara pasti tidak sabar-sabar lagi untuk mendengar pengumuman ini.

2. Mungkin ramai yang sudah mati akal setelah hampir 3 bulan terperangkap di rumah dengan pergerakan keluar yang amat terhad.

Begitu juga dengan anak-anak dan warga emas yang langsung tidak berpeluang menghirup udara segar di luar rumah walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilonggarkan beberapa minggu yang lepas.

Semuanya seakan tepu, menanti masa depan yang masih tidak menentu.

3. Namun, kita perlu ingat kesan psikologi yang dihadapi seluruh rakyat ini hanyalah salah satu faktor minor yang diambil kira.

Secara umum, faktor utama yang menjadi penilaian utama pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menasihati Perdana Menteri ialah tahap kesihatan rakyat berdasarkan kadar penularan COVID-19, keselamatan negara dan juga perkembangan ekonomi Malaysia.

4. Dari segi tahap kesihatan rakyat dan penularan wabak COVID-19, kita dapat melihat keadaan semakin bertambah baik.

Setakat jam 5 petang semalam (1 Jun 2020) keseluruhan kes terkumpul ialah sebanyak 7857 kes dengan jumlah kes sembuh keseluruhan sebanyak 6404 kes.

Kini, hanya tinggal 1338 kes aktif dengan 8 kes unit rawatan rapi (ICU) dan dua kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kematian sebanyak 115 orang menjadikan peratus kematian di Malaysia hanya 1.46 peratus yang diiktiraf antara yang terendah di dunia.

5. Semalam sahaja, hanya 38 kes positif dicatatkan tanpa kematian baharu.

Bahkan, sudah beberapa hari Malaysia tidak mencatatkan kes kematian baharu.

Ini menunjukkan kita berada di landasan yang tepat untuk pulih sepenuhnya.

6. Namun, jangan terlalu lega dan gembira. Keputusan sama ada untuk menamatkan PKPB kali ini akan banyak bergantung kepada kes atau kluster baharu yang mungkin timbul setelah PKP dilonggarkan, serta peristiwa penting hari raya Aidilfitri baru-baru ini.

Sebagai contoh, hari raya yang disambut pada 24 Mei 2020 akan memperlihatkan impaknya lebih kurang 2 minggu iaitu pada 7 Jun 2020 ini.

Begitu juga dengan jangkaan berlakunya gelombang kedua yang mungkin lebih buruk situasinya jika tidak berjaya dikawal dengan baik.

7. Faktor kedua yang perlu diambil kira ialah tahap keselamatan negara.

Memandangkan semua pintu masuk ke dalam negara termasuk penerbangan-penerbangan utama antarabangsa telah ditutup, kebarangkalian penyebaran merentas negara adalah rendah.

Berdasarkan statistik, jumlah keseluruhan kes import ialah cuma 26 kes dan kes yang membabitkan bukan warganegara pula ialah sekadar 6 kes.

Seluruh kekuatan angkatan tentera dan polis negara yang dikerah juga dilihat mampu meneruskan momentum positif ini bagi memastikan kedaulatan dan tahap keselamatan negara terpelihara.

8. Faktor ketiga yang tidak kurang pentingnya ialah perkembangan ekonomi.

Kajian MIDF Research menjangkakan ekonomi Malaysia akan pulih secara berperingkat bermula suku ketiga tahun 2020.

Laporannya menunjukkan Indeks Pelopor (LI), pertumbuhan eksport, jumlah perdagangan dan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) merosot teruk pada suku pertama dan suku kedua tahun ini akibat pandemik COVID-19 dan PKP yang dilaksanakan di seluruh negara (dan dunia).

9. Namun keputusan kerajaan Malaysia untuk membuka semula ekonomi secara berperingkat sejak awal Mei 2020 lalu, pasaran pekerjaan dijangka akan pulih secara berperingkat dan kebimbangan mengenai COVID-19 akan mula berkurangan.

Malah, IMF juga mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 9.0 peratus pada tahun 2021, walaupun dijangkakan menguncup sebanyak 1.7 peratus tahun ini.

Jika berjaya direalisasikan, pencapaian ini adalah yang terbaik antara negara-negara Asean-5 (Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam).

Manakala dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pula, IMF mengunjurkan Malaysia akan berkembang kepada 5.8 peratus pada tahun 2021, walaupun prestasi tahun ini mungkin pada paras 3.0 peratus.

10. Berdasarkan semua fakta dan nombor di atas, saya menjangkakan PKPB akan diteruskan sekurang-kurangnya sehingga hujung bulan Jun 2020, dengan kelonggaran yang lebih diberikan untuk memacu perkembangan ekonomi negara tanpa menggadaikan kesihatan dan keselamatan rakyat secara keseluruhannya.

Semoga Allah SWT memandu para pimpinan negara untuk membuat keputusan bagi manfaat semua. Amin.

Kluster Tarbiyah ISMA
Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad


Tiada ulasan: