HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Jun 2020

Imigresen perlu mantapkan SOP tangani isu lambakan warga asing

Oleh Fazleen Safina


Tak mustahil warga asing tiada rekod keluar terbabit dengan jenayah

BANGI – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) disaran untuk memantapkan Prosedur Standard Operasi (SOP) dalam menangani masalah lambakan warga asing yang tidak dapat dikesan keberadaan mereka di negara ini.

Meskipun meyakini bahawa JIM sedang berusaha keras menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI), Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, perkara berkenaan sememangnya sukar ditangani kerana tidak dapat mengenal pasti tempat mereka ‘berlindung’.

“Jadi, perlu ada langkah yang proaktif dan kita patut belajar dari negara-negara lain yang juga mempunyai masalah sama.

“Jika kita tidak dapat mengesan jumlah pelancong yang masuk dan tidak keluar dari negara ini, kemungkinan mereka akan bercampur gaul dengan penduduk tempatan dan sukar untuk dikenal pasti.

“Mereka yang tidak dapat dikesan boleh menimbulkan pelbagai masalah sosial dan ekonomi selain masalah-masalah lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal yang juga penganalisis politik tidak menolak kemungkinan bahawa warga asing yang tiada rekod keluar dari negara ini akan terbabit dengan jenayah.

Beliau berkata, terdapat dua jenis PATI yang dikenal pasti, yakni PATI yang menyusup masuk dan ia boleh dihalang dengan penguatkuasaan yang lebih intensif.

Manakala, kedua adalah pelancong yang sah tetapi ia bertukar menjadi tidak sah disebabkan tinggal di negara ini melebihi tempoh masa, dakwanya.

“Mungkin jenis yang pertama lebih mudah ditangani. Jenis yang kedua mungkin lebih mencabar. Isu PATI dan pelancong tinggal lebih masa akan berterusan dan perlu ditangani secara berstrategi,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan bahawa terdapat keperluan untuk mendapat lebih perhatian daripada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), sekiranya benar berlaku keciciran data atau kehilangan maklumat mengenai jumlah warga asing yang tiada rekod keluar dari Malaysia.

“Jadi, apa yang perlu ditekankan sekarang adalah kita kena ada data rasmi mengenai jumlah pelancong yang masuk secara sah, tetapi tidak meninggalkan negara setelah visa mereka tamat tempoh.

“Di samping itu, kita juga perlu lihat sama ada perlu diteruskan Visa on arrival (VOA) bagi pelancong-pelancong dari negara China dan India,” katanya.

Terdahulu, laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga 2018.

Menurut laporan itu sepanjang 2016 hingga 2018 data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) didapati 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

Bagi warga India pula, kemasukan yang dicatatkan ialah 41,243 antara 2017 dan 2018 tetapi 39,806 atau 96.5 peratus tidak mempunyai catatan tarikh keluar.

Negara pernah dikejutkan dengan penangkapan 680 warga China yang aktif menjalankan aktiviti sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbesar di Cyberjaya.

Kemudian, 87 lagi ditahan di beberapa unit kondominium di sekitar Setiawalk, Puchong juga menjalankan skim pelaburan dan perjudian dalam talian.

Semalam, 10 lelaki China pula ditahan kerana terbabit dalam sindiket perjudian atas talian di sebuah apartmen di Batu 9 Cheras, Kajang.


Tiada ulasan: