HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 Jun 2020

Benarkan warga asing masuk ‘rumah Allah’ jika bebas Covid-19, kata NGO Islam

NGO Mapim, Manar, dan Shura mendesak pihak berkuasa dan agamawan mengkaji
semula larangan warga asing sertai solat berjemaah di masjid, mengatakan tiada
alasan jika bebas Covid-19.

PETALING JAYA: Gabungan NGO Islam hari ini mendesak pihak berkuasa dan golongan agamawan mengkaji semula larangan warga asing sertai solat berjemaah di masjid, mengatakan mereka patut dibenarkan jika bebas Covid-19.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa (Manar), dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) mempersoalkan alasan sekitar larangan itu, mengingatkan bahawa masjid “rumah Allah”.

“Alasan tidak boleh dan melarang mereka ke ‘rumah Allah’ kerana mereka pelarian dan orang luar adalah sama sekali bertentangan dengan Islam,” katanya kenyataan bersama Presiden Mapim, Azmi Abdul Hamid, Pengerusi Manar, Ahmad Awang, dan Pengerusi Shura, Abdul Ghani Samsudin.

“Alasan wabak Covid-19 tidak boleh diterima kerana isunya ialah memastikan tidak ada pengunjung masjid dan surau yang positif Covid-19, tidak kira warga negara mahupun bukan warga negara.”

Kerajaan ketika mengumumkan pembukaan masjid secara berperingkat di seluruh negara berkata hanya orang tempatan akan dibenarkan sertai solat berjemaah dan solat Jumaat.

Langkah itu mengundang kritikan daripada aktivis Islam, Dr Ahmad Farouk Musa yang memberi amaran ia seakan xenofobia.

Sebaliknya, Farouk, yang mengajar perubatan di Universiti Monash, berkata masjid boleh melakukan pemeriksaan suhu badan di masjid dan mengimbas kod bar seperti yang diamalkan di kedai.

Sementara itu, mereka menarik perhatian kepada sikap “sangat negatif dan sarat dengan fitnah” dalam kalangan segelintir warga masyarakat terhadap pelarian, mengambil contoh insiden sepanduk mengusir Rohingya dari memasuki sebuah kampung di Johor.

“Terbaru berlaku kes di Perak, beberapa keluarga komuniti Rohingya diminta keluar dari rumah yang disewa yang mereka diami. Padahal dimaklumkan mereka membayar sewa rumah tersebut,” kata kenyataan itu.

Ketiga-tiga NGO itu menggesa cendekiawan Islam tampil untuk menulis dan berdialog dengan masyarakat dan kerajaan tentang bagaimana Islam perlu diaplikasikan dalam menangani “membela golongan tertindas”.

“Kami mendesak pihak berkuasa tidak membiarkan gejala menyebarkan kebencian dan menganiayai komuniti pelarian diluar batas undang-undang negara,” tambahnya.

Mereka juga maklum Malaysia antara negara Islam pilihan pelarian dari banyak negara yang menghadapi konflik.

“Memang ini suatu beban tetapi ini juga suatu hikmah kerana Allah menguji sejauh mana negara Islam menunjukkan nilai persaudaraan yang tinggi kepada saudara seagama,” katanya.

Dalam masa sama, mereka juga mendesak tindakan tegas terhadap pihak dalam negara yang terlibat dengan rasuah dalam sindiket penyeludupan manusia ke negara ini.

“Mereka perlu diheret ke muka pengadilan kerana mereka antara faktor kenapa kemasukkan warga asing mudah diseludup ke negara ini.”

Tiada ulasan: