HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 Jun 2020

SPRM gagal rampas RM100,000 daripada yayasan

SPRM mahu mendapatkan kembali RM270 juta yang didakwa disalurkan daripada
akaun Najib daripada 41 individu dan pertubuhan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini gagal merampas RM100,000 daripada sebuah yayasan yang terima wang daripada bekas perdana menteri Najib Razak 7 tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil Hussin menolak cubaan pendakwaraya awam atas alasan ia gagal membuktikan kes terhadap Yayasan Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM) atas imbangan kebarangkalian.

“Responden (PBAKM) tidak pernah nafi terima cek bernilai RM100,000 daripada Najib pada Oktober 2013,” katanya.

“Responden bertegas tidak sedar RM100,000 itu hasil kegiatan haram. Ia juga menunjukkan kepada mahkamah bukti menunjukkan bahawa selepas terima cek itu, terdapat pelbagai transaksi dalam akaunnya. Pada satu ketika, akaun hanya berbaki RM1,500.”

Jamil juga berkata pendakwaraya gagal membuktikan RM100,000 itu atau sebahagiannya masih ada dalam akaun bank yayasan itu sehingga 19 Mei 2019.

Timbalan Pendakwaraya Nik Haslinie Hashim beritahu mahkamah suatu permohonan untuk menggantung keputusan hari ini akan diserahkan secepat mungkin.

Yayasan diwakili Mohamed Azhari Matiasin dan Julita Ilhani Abd Jabbar.

Mahkamah juga akan mendengar cubaan pendakwaraya untuk merampas RM3.38 juta daripada Umno Johor dan Selangor pada 21 dan 27 Julai.

Nik Haslinie berkata pihak pendakwaan mengeluarkan notis memanggil pihak ketiga untuk mencabar dana itu, yang didakwa daripada 1MDB, tetapi tiada pihak tampil.

Jamil kemudian memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan, diwakili Syahrul Syazwan Salehin dan R Hanita, memfailkan hujah masing-masing dalam tempoh 2 minggu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu mendapatkan kembali RM270 juta yang didakwa disalurkan daripada akaun Najib daripada 41 individu dan pertubuhan.

SPRM juga mengeluarkan kompaun untuk mendapatkan kembali RM420 juta yang didakwa daripada 1MDB yang disalurkan kepada 80 individu dan pertubuhan.

Tiada ulasan: