HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Jun 2020

Jika PH masih berjual-beli, PRU jadi noktahnya

Wartawan MalaysiaGazette
MGF20062019_PC-MESYUARAT-PEMUDA-UMNO07-681x454
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Keutamaan UMNO ketika ini adalah memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara dan ekonomi negara segera dijana semula dalam pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, walaupun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kembali menjadi topik hangat ketika ini, namun ia seharusnya menjadi pilihan terakhir jika beberapa senario dan faktor-faktor tertentu tidak dapat dibendung lagi:

Faktor-faktor tersebut ialah usaha pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) yang berterusan mengganggu-gugat kestabilan kerajaan dengan proses ‘jual-beli’ dan tarik tali di kalangan Ahli-Ahli Parlimen untuk meruntuhkan kepimpinan negara yang sedia ada.

Selain itu, jika kedudukan kerajaan rapuh dengan majoriti yang amat kecil membuka ruang-ruang spekulasi dan permainan persepsi sebagaimana yang dicetuskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya sudah memperolehi 129 sokongan Ahli Parlimen.

Faktor lain termasuk sekiranya kerajaan yang berterusan ditohmah dan dipersepsikan PH sebagai ‘kerajaan tanpa mandat rakyat’ akan menghakis keyakinan komuniti pelaburan dalam dan luar negara, sekali gus menyukarkan usaha memulihkan ekonomi negara, malah merencatkan perlaksanaan dasar-dasar penting untuk rakyat.

”Sekiranya ketiga-tiga faktor di atas tidak dapat dikekang dan dibendung lagi, kerajaan hakikatnya tidak banyak pilihan kecuali menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin-pemimpin yang benar-benar ikhlas berjuang membela nasib mereka dan bukannya sekadar sibuk berebut kuasa,” katanya dalam hantaran di Facebook,

Asyraf menambah, Pemuda UMNO berpendirian PRU ke-15 harus menjadi pilihan terakhir jika kerakusan dan ketamakan PH kembali berkuasa tidak dapat dibendung dan dan negara berterusan berhadapan dengan suasana ketidaktentuan lantaran krisis politik berpanjangan. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: