HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Jun 2020

UMNO semakin dominan, Maszlee ramal Najib jadi calon PM

Wartawan MalaysiaGazette
MGF28082019_MASZLEE-LAWAT-KEBAKARAN-UM_10-681x454
Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Masa depan dan kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Muafakat Nasional (UMNO dan Pas) di bawah Kerajaan Perikatan diramalkan amat sukar sekali terutama jika Pilihan Raya Umum berlangsung nanti.

Kecuali jika UMNO dan Pas setuju untuk menubuhkan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama Bersatu.

Dengan kerusi yang dimenangi yang sedikit berbanding MN, parti yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin itu diramal goyah.

Di Semenanjung sahaja, UMNO bertanding 105 kerusi dan menang sebanyak 46 kerusi, sekali gus nisbah kekuatan UMNO ialah 46 daripada 105, bersamaan dengan 43.8%.

Manakala Pas pula bertanding 144 kerusi dan menang 18 kerusi dan nisbah kekuatannya 18 daripada 114, bersamaan dengan 12.5%.

Sedangkan Bersatu bertanding 52 kerusi dan menang 13 kerusi, dengan ini nisbah kekuatan Bersatu ialah 13 daripada 52, bersamaan dengan 25%, kata Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.

Menurutnya, semasa PRU-14, berlaku pertandingan 3 penjuru di 46 kerusi antara Bersatu, UMNO dan Pas yang mana Bersatu hanya menang 10 kerusi, UMNO menang 30 kerusi dan PAS pula menang 6 kerusi.

Jadi, hampir mustahil untuk Pas dan UMNO sedekahkan 36 kerusi yang telah dimenangi mereka kepada Bersatu.

Malah untuk mengekalkan dikotomi 10 kerusi yang sedia ada itupun adalah suatu yang amat meragukan, kata Maszlee.

”Persoalan yang penting di sini, melalui kerjasama Perikatan Nasional, berapa banyakkah kerusi yang Pas sanggup korbankan untuk memberi laluan kepada UMNO dan Bersatu untuk mengelakkan berlakunya pertembungan 3 penjuru?

”Semasa PRU-14 yang lalu, sebanyak 4 kerusi Bersatu bertanding melawan MIC, MCA atau Gerakan. PRK Tg Piai membuktikan MCA mampu merampas semula kerusi Bersatu dan adakah pada PRU-15, Gerakan dan MCA sanggup memberikan laluan kepada Bersatu?

”Terdapat 2 kerusi lagi, Kota Tinggi dan Pengerang, telah berlaku pertandingan 1 lawan 1 antara Bersatu dan UMNO. Selaku Presiden Bersatu dan orang Johor, adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat berunding agar UMNO memberikan laluan kepada Bersatu bertanding di Kota Tinggi dan Pengerang tanpa tentangan?,” soal beliau.

Maszlee mengulas kenyataan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang menolak sebarang kerjasama politik dengan Bersatu.

Bekas Menteri Pendidikan itu mendakwa, di kawasan yang rata-rata pengundinya bukan Melayu yang telah disandang Bersatu sebelum ini, tidak lagi akan diberikan kepada Bersatu kerana kemenangan di bawah PH sebelum ini ialah hasil dari sokongan DAP.

Katanya lagi, peluang untuk menang di kawasan Tapah, Tanjung Piai, Alor Gajah dan Simpang Renggam di bawah PN sangat-sangat tipis kerana akan dibolot oleh MCA dan MIC.

Di pantai timur pula, Bersatu boleh tutup kedai kerana tidak ada sebab Bersatu perlu bertanding di sana.

Ini kerana, 16 kerusi daripada 34 kerusi yang ditandingi Bersatu di Kelantan, Terengganu dan Pahang, semua kerusi Bersatu kalah dengan mendapat undi hanya 101,488 dari 884,773 jumlah undi, menjadikan undi popular Bersatu di pantai timur hanya 11.5%.

”Saya gusar yang berteriak menyokong akhirnya hanya seronok sendiri, kerana hakikatnya sampai hari ini, tidak ada sebarang kenyataan pun dari UMNO yang mengesahkan untuk bertanding di PRU-15 menerusi PN,” katanya mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa Bersatu akan dipinggirkan nanti.

Buktinya, kata beliau, sehingga kini tidak ada pimpinan UMNO yang mengeluarkan kenyataan mempertahankan Bersatu apalagi bersedia untuk berkongsi kerusi dengan Bersatu.

Malah, jika PN ditubuhkan pun, Bersatu tidak akan lagi menjadi parti dominan sebaliknya yang berpengaruh adalah UMNO.

Oleh itu, sudah tentulah calon Perdana Menteri bukan lagi Muhyiddin tetapi daripada UMNO sambil meramalkan calonnya sudah tentu Datuk Seri Najib Razak atau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

UMNO sekarang mempunyai 39 kerusi sementara Bersatu hanya memiliki 12 kerusi (jika tidak ditolak 5 kerusi yang kononnya telah terhenti keahlian mereka) termasuk 14 MP yang lompat ke Bersatu dari UMNO.

Menteri Besar PN juga bukan lagi didominasi dari Bersatu berikutan bertukarnya kerajaan negeri di Johor, Melaka, Kedah.

Dalam bahasa mudah, pimpinan Bersatu sekarang telah menggadaikan negeri-negeri tersebut demi sokongan politik kepada seorang individu dan ia tidak pernah berlaku di zaman PH!

Di Perak sebagai contoh, barisan exco didominasi oleh UMNO seramai 6 orang daripada keseluruhan 11 Exco Perak.

”Setiap kali saya bertemu dan berbincang dengan ahli-ahli dari akar umbi, inilah yang akan saya bentangkan. Berikan kepada saya formula untuk Bersatu kekal dominan jika bersama PN seperti yang diuar-uarkan?

”Berikan saya satu sahaja sebab kenapa Zahid Hamidi dan Najib Razak mahu memberikan peluang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi calon Perdana Menteri sekali lagi pada PRU-15 nanti?,” soalnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: