"Kalau polis tangkap, bukan sahaja kena penjara tapi duit pun habis (ikat jamin)," kata penduduk Orang Asli, Mishah Dulah, dari Kampung Tabiran, Sungai Rual, Jeli.
Mishah berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diumumkan beberapa hari lalu, baru penduduk di kampung itu berani keluar bebas kerana bukan sahaja risaukan wabak Covid-19 tapi juga pihak berkuasa.
Menurutnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu, kira-kira 205 keluarga di kampung itu hanya makan sumber tanaman yang ditanam sekitar rumah sahaja untuk mengalas perut sementara menunggu bantuan daripada pihak berwajib.
"Sebaik kerajaan laksanakan PKP, kami semua memang tidak keluar rumah dan apabila bekalan makanan hampir habis, kami berjimat dengan mencabut ubi atau sayur yang ditanam di sekitar rumah untuk dimakan.
"Sudah lama penduduk tidak keluar rumah dan kalau ada yang cuba (keluar), mereka akan segera patah balik jika terserempak dengan polis..takut," katanya ketika ditemui di Jeli hari ini.
Penghulu Kampung Sungai Rual, Bidin Daun, berkata bermula dari PKP fasa pertama lagi lebih 800 keluarga membabitkan empat kampung di Jeli iaitu Kampung Tabiran, Manok, Kalok dan Seberang patuh dengan arahan yang dikeluarkan.
Katanya lagi sumbangan makanan yang diterima pula sering diterima daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), badan bukan kerajaan (NGO) atau beberapa lagi pihak lain.
"Dalam tempoh PKP sehingga PKPB, orang kampung memang tidak keluar, semua takut dan kalau ada pun hanya ke kedai runcit berdekatan untuk beli makanan.
"Bagaimanapun sejak seminggu lalu baru lah kami bebas keluar dan buat kerja semula kerana sebelum ini ramai yang tidak dapat menoreh getah, kerja di ladang sawit menyebabkan tiada pendapatan dan hanya harapkan bantuan makanan dari pelbagai pihak," katanya.
Terdahulu seramai 205 keluarga di Kampung Tabiran menerima bantuan bakul makanan asas daripada NGO Amazing Hiking Malaysia dengan kerjasama JAKOA dan Tourism Malaysia Kelantan.
Bantuan adalah dalam bentuk makanan asas seperti beras, minyak, biskut, gula serta pakaian terpakai termasuk kelengkapan bayi dan kanak-kanak.
Sementara itu Pengarah JAKOA Kelantan/Terengganu, Shafie Abas, berkata sepanjang bermula PKP fasa pertama lagi pihaknya sudah mengagihkan agihan bantuan makanan kepada lebih 4,000 isi rumah masyarakat Orang Asli sekitar dua negeri itu.
"Setakat ini sudah tiga fasa agihan dibuat dan kita jangkakan buat masa kini mereka sudah boleh kembali bekerja dan memperoleh pendapatan untuk kelangsungan hidup.
"Selain pihak kerajaan, mereka juga menerima bantuan dari pihak lain dan saya difahamkan untuk empat kampung di Sungai Rual ini, sudah lima kali agihan disampaikan sebelum ini tidak termasuk daripada JAKOA sendiri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan