HALAMAN SANTAI

Isnin, 15 Jun 2020

Kantoi mencuri, mulut disumbat kulit durian

Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

PENDUDUK menyumbat mulut dua lelaki yang ditemui mencuri durian di Kampung Berchat. FOTO Ihsan Pembaca

TINDAKAN dua lelaki mencuri durian di sebuah dusun di Kampung Berchat, Lubuk Gajah, Changkat Jering, Taiping, mengundang padah apabila mereka diberkas pemilik kebun dan penduduk kampung awal pagi kelmarin.

Sebagai balasan, penduduk kampung menyumbat mulut kedua-dua pencuri itu dengan kulit durian sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata dalam kejadian 3 pagi itu, pemilik kebun berusia 69 tahun bersama dua rakannya pergi ke kebunnya di kampung itu untuk mengutip buah durian .

Beliau berkata, sebaik tiba di situ, mereka ternampak kenderaan Toyota Hilux serta melihat kelibat dua lelaki mencuri durian di dusun itu sebelum ditangkap dengan bantuan penduduk kampung.

"Hasil siasatan, polis mendapati kedua-dua suspek berusia 28 dan 30 tahun mengambil kesempatan memasuki kebun penduduk pada sebelah seawal pagi dan mengutip durian yang luruh.

"Pemeriksaan pada but kenderaan, menemui raga yang mengandungi 30 durian berharga kira-kira RM500, dipercayai dicuri dari kebun pemilik," katanya dihubungi media, malam tadi.

PENDUDUK menyerahkan suspek kepada polis untuk tindakan lanjut. FOTO Ihsan Pembaca
PENDUDUK menyerahkan suspek kepada polis untuk tindakan
lanjut. FOTO Ihsan Pembaca

Menurutnya, tangkapan bersama barangan kes dibawa ke Balai Polis Changkat Jering dan suspek direman selama tiga hari sehingga 16 Jun ini.

"Polis juga menjalankan siasatan sama ada suspek mempunyai hubung kait dengan beberapa kes kecurian lain yang dilapor berlaku di sekitar Taiping.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Tiada ulasan: