PUTRAJAYA – Malaysia kesal dengan sikap beberapa negara ketiga yang pernah memberi jaminan serta kesediaan untuk menerima pelarian etnik Rohingya tetap gagal mengotakan janji-janji tersebut.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keadaan itu menyebabkan usaha untuk menempatkan pelarian dari Myanmar itu ke negara ketiga tidak menjadi kenyataan.
“Apa yang kita sudah lakukan kepada pelarian Rohingya sejak dahulu lagi bukan suatu yang kecil dan jumlah mereka yang ada di negara ini kini ratusan ribu.
“Jaminan daripada negara dan pihak ketiga kepada kita bahawa mereka akan menampung dan menerima pelarian Rohingya yang mendapat naungan di Malaysia tidak menjadi kenyataan sehingga kini.
“Amat tidak adil mana-mana pihak yang menuduh bahawa Malaysia tidak berperikemanusiaan terhadap apa yang dilalui pelarian Rohingya dan kita Wisma Putra dari dulu lagi pendirian kita adalah masalah Rohingya mesti diselesaikan di Rakhine,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Menteri Luar ASEAN Rusia di Wisma Putra petang tadi.
Menurut Hishammuddin, pendirian Malaysia itu lantang dinyatakan di semua platform antarabangsa berhubung apa yang disumbangkan negara untuk kebajikan etnik Rohingya.
Katanya, keengganan negara ketiga menerima pelarian Rohingya juga menyebabkan Malaysia bertindak solo dalam menghadapi segala tempias daripada isu tersebut termasuk kritikan.
“Mereka yang dakwa menteri tak buat kerja soal pelarian Rohingya tidak benar, kenapa tidak mereka sendiri tampil tawar diri ambil pelarian Rohingya daripada menuduh Malaysia.
“Myanmar sendiri juga kena bincang di peringkat ASEAN yang mana bukan perkara baharu kerana kebanyakan pelarian Rohingya yang datang ke Malaysia adalah dari kem pelarian Bangladesh.
“Pendirian Malaysia adalah ia bukan hanya tanggungjawab Malaysia sahaja tetapi akhirnya kita dipersalahkan,” tegasnya apabila mengulas pendirian negara mengenai kritikan pihak laur dalam soal Rohingya.-MalahysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan