KOTA KINABALU: Pemergian 2 Adun daripada gabungan pemerintah mencetuskan perbualan tentang pilihan raya negeri tetapi 2 penganalisis politik percaya Ketua Menteri Shafie Apdal akan terus bertahan selagi beliau ada sokongan majoriti.
Semalam, Adun Sugut, James Ratib dan Adun Kuala Penyu, Limus Jury, dari Upko, menarik diri daripada gabungan Warisan-Upko-DAP-PKR untuk menjadi Adun bebas yang menyokong gabungan Perikatan Nasional.
Ratib juga mendakwa lebih ramai Adun akan meninggalkan gabungan pemerintah itu.
Bagaimanapun, penganalisis politik Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah, dan Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah percaya Shafie tidak akan terpaksa memanggil pilihan raya baru selagi masih ada sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri.
Lee berkata ketidakpastian di peringkat persekutuan juga akan menentukan apakah pilihan raya negeri diperlukan.
“Bagi peringkat negeri, apabila Shafie berkata mereka akan lawan, ada kemungkinan beliau akan minta Yang di-Pertua Negeri bubarkan DUN. Tetapi, sekarang belum mendesak,” kata Lee.
“Selagi beliau rasa ada sokongan majoriti, beliau akan terus bertahan,” katanya kepada FMT.
Bagang berkata sekalipun Shafie minta DUN dibubarkan, Yang di-Pertua Negeri masih perlu memberikan persetujuannya.
Bekas Presiden Pertubuhan Undang-undang Sabah, Brenndon Keith Soh berkata Yang di-Pertua Negeri tidak perlu membubarkan DUN walaupun diminta ketua menteri.
Soh berkata perlembagaan negeri jelas menyatakan kuasa budi bicara ketua negeri. Yang di-Pertua boleh tentukan siapa ada sokongan majoriti berdasarkan bukti luaran seperti akuan berkanun atau temubual Adun.
Beliau berkata Yang di-Pertua Negeri diberi budi bicara untuk tentukan apakah DUN perlu dibubarkan.
Walaupun kerajaan PN ada majoriti tipis di Dewan Rakyat, majoriti di tangan gabungan pemerintah negeri adalah kuat.
Dengan pemergian Limus dan Ratib, gabungan pemerintah negeri masih ada 45 kerusi daripada 65 kerusi.
Pilihan raya umum seterusnya akan mempertandingkan 73 kerusi, selepas Dewan Rakyat meluluskan 13 kerusi baru tahun lepas, iaitu Bengkoka, Mangaris, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Dumpil, Dambai, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan