HALAMAN SANTAI

Jumaat, 19 Jun 2020

Tun tolak Anwar dan Anwar tolak Tun

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

tun

SETELAH berhari-hari terlibat dalam politik sorong papan tarik papan akhirnya hari ini PKR memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri (PM), dan kekal dengan konsensus Pakatan Harapan (PH) mencalonkan hanya nama Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan berkenaan.

Soalnya masih adakah konsensus PH itu, kerana pada pemahaman ramai ianya terbatal apabila DAP dan PAN bersetuju dengan cadangan kumpulan Tun dan WARISAN untuk sebaliknya mengangkat Tun sebagai calon PH Plus?

Dengan keputusan PKR itu bermakna mereka menolak Tun sebagai calon PM dan dengan itu juga bermakna menolak cadangan kumpulan Tun dan WARISAN yang mempunyai 14 kerusi Parlimen.

Kurang 14 kerusi maka makin jauhlah harapan Anwar menjadi PM. Bagaimana pula dengan DAP dan PAN? Adakah mereka kekal mahu bersama PKR sedangkan mereka juga menolak pencalonan Anwar setelah mendengar pandangan Tun. Mereka lebih yakin pada Tun berbanding Anwar.

DAP dan PAN pula menguasai 53 kerusi dan jika mereka bertegas mahukan Tun sebagai calon PM bermakna PKR kehilangan 53 kerusi lagi dan dengan itu Anwar kekal di bangku pembangkang sehinggalah ke penghujung penggal.

Dengan perkembangan ini masih berupayakah kumpulan pembangkang yang porak-peranda itu ‘menggulingkan’ Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin?

Anwar dan PKR tidak percaya Tun manakala Tun pula tidak percaya Anwar. DAP dan PAN asalnya menyokong Anwar, kini merasakan Tun lebih layak. Jelas blok pembangkang sudah berpecah-belah dan dengan suasana sedemikian maka berakhirlah apa sahaja angan-angan atau mimpi kosong mereka mahu merobohkan Kerajaan PN.

PRK DUN Chini yang penamaan calonnya esok pun langsung tidak mereka pedulikan, yang mereka sibuk siapa calon ‘bakal’ PM.

Demikianlah nasib si labu-labi, konsensus gagal diperolehi, dan sesama mereka berbalah dan bersengketa. Semakin cerah dan bersinarlah masa depan PN, kekal memerintah dengan dukungan rakyat sehinggalah ke PRU ke-15 nanti. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: