HALAMAN SANTAI

Jumaat, 19 Jun 2020

'Pengawal keselamatan dapat peluang tembak perompak ketika saya terjatuh' - Tebusan

Bernama
'Pengawal keselamatan dapat peluang tembak perompak ketika saya terjatuh' - TebusanSebuah bank yang cuba dirompak seorang lelaki berusia 19 tahun yang maut ditembak pengawal keselamatan. -Astro AWANI
KOTA TINGGI: Kesakitan lutut dialami seorang ibu membolehkan pengawal keselamatan mendapat peluang menembak perompak yang turut menjadikan anaknya tebusan dalam rompakan bank di Felda Ayer Tawar 5, dekat sini, petang Khamis.

Menceritakan detik cemas itu, Ratnah Ahab, 56, berkata ketika kejadian kira-kira jam 2 petang itu, dia dan anaknya, Mardiah Mat Ripi, sedang beratur untuk urusan perbankan setelah melepasi saringan kesihatan di bank berkenaan.

"Tiba-tiba datang sorang lelaki memakai kemeja-T dan bertutup muka memeluk Mardiah dari belakang sambil mengacukan sebilah sabit di leher anak saya.

"Saya terkejut dan masa kejadian itu, pelanggan bank hanya ada enam orang termasuk kami dua beranak," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Belading Baru, Telok Sengat, di sini, lewat malam Khamis.
Sambil mengheret Mardiah, perompak itu sempat menutup pintu bank, katanya lagi.

Ratnah, yang bekerja di Ladang Sawit Telok Sengat itu berkata, sambil merayu kepada perompak untuk tidak mengapa-apakan dan melepaskan anaknya, dia sempat bertanya mengapa suspek berbuat demikian.

Katanya, lelaki bertopeng itu memberitahu dia hanya memerlukan RM20,000 sahaja.

Sebelum itu, perompak berkenaan telah mengugut untuk mencederakan Mardiah jika tuntutannya mendapatkan RM20,000 tidak dipenuhi oleh pihak bank.

BACA: Perompak maut ditembak pengawal keselamatan

Pegawai bank serta kakitangan yang berada di dalam bank itu berusaha memasukkan wang ke dalam sebuah beg galas berwarna putih sebagaimana diarahkan oleh perompak terbabit.

Sejurus melepaskan Mardiah, perompak berkenaan menerpa ke arah Ratnah sambil mengacukan sabit namun wanita itu terjatuh dan tidak berupaya bangun akibat sakit lutut yang dialaminya.

"Pada masa itulah, saya terdengar letupan tembakan dari arah kaunter bank. Saya nampak perompak itu rebah ke lantai dan berlumuran darah sementara seorang pelanggan lain mengambil sabit itu dan melemparkannya jauh dari tangan perompak itu," katanya yang masih mengigil ketakutan akibat trauma.

Beliau dan anaknya turut menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pasukan perubatan Hospital Kota Tinggi dan disahkan baik kecuali mengalami sedikit trauma akibat peristiwa berkenaan.

Sementara itu, kediaman Ratnah terus dikunjungi saudara-mara dan jiran sekampung bagi mengucapkan syukur kerana terselamat dalam kejadian rompakan terbabit.

Pada kejadian yang berlaku selama kira-kira setengah jam itu, seorang lelaki berusia 19 tahun ditembak mati oleh seorang pengawal keselamatan menggunakan 'pump gun' ketika cuba menyamun bank serta menahan tebusan.- BERNAMA

Tiada ulasan: