HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 September 2009

Jangan ambil amah PATI bekerja

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Majikan kepada pembantu rumah Indonesia digesa supaya tidak mengambil amah yang berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk bekerja di Malaysia.

Konsul Penerangan, Sosio dan Budaya Kedutaan Besar Indonesia, Widyarka Ryananta berkata, sekiranya hal tersebut dipatuhi, maka tidak akan wujud lambakan PATI yang beria-ia mahu bekerja sebagai amah di negara ini.

"Keadaan ini umpama teori pembekalan dan permintaan (supply and demand) dalam ekonomi di mana terdapat permintaan yang tinggi daripada majikan-majikan di Malaysia.

"Sedangkan pada masa sama, 'pembekalan' amah Indonesia ke Malaysia berkurangan berikutan pembekuan penghantaran amah sejak Jun lalu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia, Khairudin Harahap yang beranggapan, Malaysia bakal berdepan dengan masalah kebanjiran PATI yang serius sekiranya tindakan pembekuan sementara amah Indonesia ke negara ini tidak segera dihapuskan.

Pembekuan amah yang dikuatkuasakan Indonesia pada 25 Jun lalu bertujuan menilai semula penempatan dan perlindungan amah Indonesia di Malaysia berikutan banyak aduan pekerja negara itu didera.

Walaupun begitu, Indonesia hanya akan membenarkan rakyatnya masuk ke negara ini sebagai amah selepas Akta Kerja 1955 selesai dipinda oleh kerajaan Malaysia.

Dalam pada itu, Widyarka menjelaskan, cadangan Indonesia mengenai kenaikan gaji minimum amah adalah sebanyak RM600 sebulan dan bukannya RM800 seperti yang digembar-gemburkan di media.

"Kenaikan gaji yang dicadang adalah atas dasar persefahaman antara amah dan majikan selepas berkhidmat selama dua tahun untuk memperbaharui tempoh perkhidmatan.

"Ini disebabkan selepas tempoh dua tahun, amah tidak lagi terikat kepada perjanjian yang ditandatangani bersama agensi, sebaliknya berurusan secara terus dengan kedutaan di sini," katanya.

Tambahnya, cadangan gaji minimum RM800 sebulan adalah melibatkan pekerja sektor binaan dan tidak melibatkan amah Indonesia.

Sementara itu, Widyarka berkata, pihaknya sentiasa berusaha mencapai situasi menang-menang dalam memberikan perlindungan yang sama kepada majikan dan juga amah.

"Meskipun dikatakan peratusan amah yang mendapat layanan buruk majikan terlalu kecil (0.1%), tetapi pelanggaran hak asasi manusia tetap berlaku sekiranya ia melibatkan hanya seorang amah," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menerima laporan daripada 140 amah yang lari dari rumah majikan kerana dilayan buruk, terdapat juga beberapa kes melibatkan gangguan seksual.

"Di kedutaan, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk membela kebajikan amah-amah Indonesia di Malaysia.

"Cadangan untuk menaikkan gaji minimum bulanan RM600 adalah wajar kerana gaji mereka secara relatifnya adalah rendah berbanding yang bekerja di Singapura, Hong Kong dan Taiwan," katanya.

Beliau berkata, tiada perbezaan 'gred' antara amah-amah yang dihantar ke Malaysia mahupun ke negara-negara Asia yang lain.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai media Indonesia yang sentiasa mensensasikan sesuatu isu, beliau menyifatkan, kebebasan media adalah tiang kepada demokrasi yang diamalkan Indonesia.

Tiada ulasan: