HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 September 2009

Selangor tidak rombak Selcat

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Tata cara serta keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) kekal di sebalik keputusan Pas negeri semalam menyokong desakan Datuk Dr. Hassan Ali supaya jawatankuasa itu ditambah baik.

Perkara itu diputuskan selepas perbincangan hampir dua jam melibatkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Antara yang hadir pada perbincangan itu termasuk Hassan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Teng Chang Khim, pegawai daerah, Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli-ahli Parlimen di Selangor.

Bercakap kepada pemberita, Abdul Khalid menegaskan, Selcat akan tetap diteruskan secara terbuka seperti biasa manakala pegawai kerajaan boleh dipanggil memberi keterangan jika perlu.

"Tidak ada rombakan sebaliknya ia akan diteruskan seperti yang diputuskan dalam sidang Dewan sebelum ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tertutup itu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini malam ini.

Baru-baru ini, Hassan secara terbuka mengkritik prosedur Selcat yang menyoal Pegawai Daerah negeri ini berhubung perbelanjaan peruntukan tahunan wakil rakyat pada sesi pendengaran awam jawatankuasa itu pada 8 hingga 14 September lalu.

Malah, Hassan yang merupakan Pesuruhjaya Pas negeri menyatakan prosedur siasatan yang diamalkan oleh Selcat itu tidak sesuai dan seolah-olah cuba mengaibkan pegawai kerajaan terbabit.

Dalam pada itu, Abdul Khalid memberitahu, sebarang perubahan terhadap Selcat selepas ini perlu dibincangkan dan dibahaskan pada sidang DUN jika perlu.

Malah, beliau mengingatkan sebarang perbincangan mengenai Selcat tidak perlu melibatkan pihak luar.

Sementara itu, Hassan yang yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan kemudahan Awam negeri ketika ditemui enggan mengulas lanjut hasil keputusan mesyuarat berkenaan.

''Saya bersetuju dengan keputusan mesyuarat tadi," katanya ringkas.

Tiada ulasan: