HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 September 2009

Mafrel mahu SPR kaji pemberian status undi pos

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula status pengundi pos di kalangan anggota tentera dan polis supaya lebih relevan dengan perkembangan semasa.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata sudah tiba masanya SPR meneliti pemberian status undi pos terutamanya dikalangan anggota keselamatan berkenaan kerana keperluannya sudah berbeza sejak ia diperkenalkan.

"Kami akan mencadangkan kepada SPR supaya undi pos dikaji semula terutamanya pemberian status kepada anggota tentera dan juga polis.

"Kalau dulu memang benar anggota tentera bekerja di sempadan, sukar untuk mereka membuang undi seperti pengundi biasa.

"Tapi kini situasinya sudah agak berubah kerana kebanyakkan mereka hanya berada di kem masing-masing dan mereka mempunyai kesempatan untuk keluar mengundi pada hari pengundian," katanya kepada mStar Online.

Tambah beliau, SPR perlu menimbangkan mengenai perkara tersebut bagi memastikan ketelusan undi pos.

"Undi pos agak kritikal terutamanya bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang nanti.

"Jadi langkah mengkaji pemberian status kepada anggota keselamatan yang benar-benar sedang berkhidmat di luar kawasan perlu dipertimbangkan... manakala bagi anggota (keselamatan) lain yang tidak menghadapi kesukaran untuk keluar mengundi seperti biasa, kelayakan (status undi pos) mereka perlu ditarik," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang yang akan bermula 3 sehingga 11 Oktober ini menyaksikan jumlah pengundi undi pos sebanyak 4,604 orang dari 13,664 pemilih berdaftar.

Sehubungan dengan itu Syed Ibrahim berkata, Mafrel berhasrat untuk mengadakan perjumpaan dengan pihak SPR bagi membincangkan mengenai cadangan tersebut dalam masa terdekat.

"Kita bercadang untuk bersemuka dengan SPR bagi membincangkan mengenai banyak perkara yang berkaitan bagi memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar.

"Malah kita juga ingin mengemukakan permohonan kepada SPR supaya Mafrel diberikan kebenaran untuk memantau proses perjalanan undi pos... pemantauan itu bukan sahaja semasa pembuangan undi tapi perlu kepada keseluruhan prosesnya," katanya.

Tiada ulasan: