HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 September 2009

Samy Vellu patut cuti 20 tahun

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA dan MUZDALIFAH MUSTAPHA


KUALA LUMPUR – ‘‘Dia (Samy Vellu) sepatutnya sambung cuti sehingga 20 tahun lagi, dua bulan itu tak cukup.’’

Demikian reaksi sinis bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila ditanya hari ini mengenai cadangan Datuk Seri S. Samy Vellu untuk bercuti selama dua bulan daripada bertugas sebagai Presiden MIC.

Ia ekoran desakan pelbagai pihak supaya Samy Vellu menimbang semula pelan persaraannya.

Dr. Mahathir berkata, Samy Vellu sepatutnya tidak lagi memegang jawatan nombor satu dalam parti itu.

Katanya, Samy Vellu telah terlalu lama menjadi Presiden MIC dan tindakannya yang tidak mahu melepaskan jawatan itu hanya akan menimbulkan kebencian ramai orang.

“Dia tak boleh dah duduk situ, dah 30 tahun, dia lebih lama daripada saya, saya 22 tahun pun saya sanggup letak jawatan.

“Masa saya letak jawatan, bukannya orang benci sangat, tapi saya masih letak jawatan, ini dia lagi duduk situ, lagi orang benci,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Seri Kembangan di sini.

Diminta mengulas mengenai pelancaran parti Makkal Sakti pada 10 Oktober ini yang menjadi parti alternatif memperjuangkan nasib kaum India di negara ini, Dr. Mahathir berkata, ia ditubuhkan berdasarkan sokongan ramai.

“Ia adalah sesuatu yang bagus kerana pengaruh MIC di kalangan masyarakat India semakin berkurangan dan kita tidak mahu kehilangan sokongan mereka,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan parti itu merupakan satu perkembangan baik yang mampu menjadi pengganti kepada MIC.

Presiden Makkal Sakthi, R.S Thanenthiran sebelum ini berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan parti itu yang telah mempunyai keahlian seramai 50,000 orang.

Tiada ulasan: