HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 September 2009

Perihal pengundi hantu dan hantu pilihan raya

Jika anggota tentera boleh keluar ke bandar untuk membeli-belah dan urusan lain, mengapa mereka tidak boleh keluar mengundi macam orang awam?

Oleh SHIRZAD LIFEBOAT


Dan maka diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang adalah pada 3 Oktober sementara tarikh pengundian jika ada pertandingan pada 11 Oktober.

Dan di samping itu berkata juga Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa pilihan raya kecil itu kelak akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2008 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2009 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Kedua 2009 yang dikemas kini sehingga 4 September lalu.

Menurutnya daftar pemilih ini mengandungi 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos."

Dalam lain perkataan, daripada sejumlah 13 ribu lebih pengundi berdaftar, hampir 34 peratus daripada jumlah itu akan mengundi dengan cara pos.

Siapakah mereka ini sebenarnya yang tidak dapat hadir ke pusat pembuangan undi sehingga terpaksa menggunakan cara pos untuk memilih pemimpin?

Dengan mengambil kira saiz negara kita dan segala perbelanjaan bagi membina infrastruktur pengangkutan adalah agak pelik sekiranya masih ada mereka yang terpaksa menggunakan cara undi pos ini. Ia memberikan gambaran seolah-olah kita berada di zaman pra-pembangunan dan pasca kemerdekaan di mana amat sukar bagi rakyat menunaikan kewajipan mengundi di pusat pembuangan undi di sebabkan tidak ada jalan dan pengangkutan untuk pergi dari satu tempat dengan mudah dan apatalah lagi selesa.

Sekiranya undi pos ini dikhaskan untuk anggota polis, maka ia lebih sesuai untuk sesuatu pilihan raya umum kerana ramai anggota polis, terutamanya semenjak dua menjak ini yang dikerahkan menjaga apa yang dianggap sebagai keselamatan walaupun ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Dan jika kaedah undi pos ini juga dikhaskan untuk tentera, maka apakah alasan anggota tentera dan keluarga mereka tidak boleh keluar mengundi di pusat pembuangan undi. Ini masa damai dan negara kita pula bukan sedang berperang dengan mana-mana negara atau diancam untuk diserang oleh mana-mana negara.

Justeru, apakah perlunya anggota pasukan tentera perlu memerap dalam kem masing-masing sewaktu rakyat lain yang bertaraf orang awam keluar mengundi.

Sekiranya anggota tentera boleh keluar ke pekan, bandar dan sebagainya untuk membeli-belah dan urusan lain, mengapa pula mereka tidak boleh keluar mengundi? Pusat pembuangan undi hari ini bukannya terletak jauh di dalam hutan tetapi di kawasan yang mudah akses oleh semua.

Tapi tentu sekali SPR dan juga ATM dan polis serta kerajaan mempunyai alasan berlainan. Menurut kenyataan terbaru Abdul Aziz, SPR memberi jaminan tidak akan ada undi hantu dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang ini.

Katanya, "Peti undi pos itu akan kita pateri dan ditandangani di atasnya oleh pihak iaitu SPR dan wakil daripada ejen parti yang bertanding… Beg itu dipateri, kalau dibuka. Tandatangan nak dibuka macam mana lagi ... Kalau ada masuk benda lain, mesti tahu punya. Tak boleh tipu. Kali ini pergi tengok dan diperhati dengan betul. kemudian anda bagi tahu saya, di mana tempat dia boleh tipu."

Jaminan pengerusi SPR ini mengundang persoalan selanjutnya: Bukankah selama ini pun SPR telah memberi macam-macam jaminan?

Namun di sebalik semua jaminan-jaminan itu, umum masih lagi menganggap masih terdapat pelbagai perkara yang tidak beretika berlaku pada pilihan raya umum dan pilihan raya kecil. Justeru apakah jaminan ini nanti merupakan seperti juga jaminan-jaminan lain.

Memang benar, terdapat ada prosidur keselamatan terhadap beg undi pos dan di sebalik tandatangan dan sebagainya, apakah wakil atau ejen calon yang bertanding juga boleh turut sama dalam dalam kenderaan yang mengangkut beg tersebut?

Sekiranya ejen calon terlibat bermula dari pembuangan itu sendiri dan kemudian ketika beg itu dipindahkan ke tempat mengundi dan seterusnya di buka dan di kira, sudah tentulah tidak perlu apa-apa jaminan.

Tetapi sekiranya wakil calon hanya menyaksikan penguncian beg dan menurunkan tanda tangannya tetapi tidak turut sama mengiringi beg tersebut, maka apakah jaminan bahawa beg yang dilihat itu adalah beg sama yang dibawa ke pusat pembuangan undi.

Dalam keadaan keyakinan rakyat masih belum pulih sepenuhnya terhadap cara SPR mengendalikan pilihan raya, badan itu sebenarnya perlu mewujudkan satu sistem yang lebih kalis-penipuan atau fool-proof dan bukannya satu sistem yang tampak seperti selamat tetapi masih ada ruang untuk berlakunya penipuan.

SPR tidak perlu memberi jaminan tentang kisah hantu dalam pilihan raya. Ini kerana selagi tidak ada satu sistem sedemikian yang wujud maka selagi itulah hantu tetap berkeliaran di dalam sesuatu pilihan raya kecil atau pilihan raya umum.

Jangan lupa, hantu boleh buat apa sahaja, termasuk meniru tandatangan (dan mungkin juga cap jari). Ini zaman teknologi moden, orang yang mati pun boleh dirakamkan dalam video seolah-olah dia masih hidup. Justeru, inikan pula menggunakan nama orang mati untuk tujuan-tujuan lain.

Tiada ulasan: