HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 September 2009

Umno siap sedia tangkis isu rasuah politik Isa

Abdul Rahim Sabri


Umno bahagian Teluk Kemang bersedia untuk menjawab segala isu yang dibangkitkan oleh pembangkang termasuk isu rasuah politik wang yang dikaitkan dengan calon BN di Bagan Pinang Tan Sri Isa Samad, dalam kempen pilihan raya kecil DUN tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menutup penamaan pada 3 Oktober dan pengundian pada 11 Oktober depan.

Seorang jurucakap Umno bahagian namanya disebut berkata, apa jua isu yang dibangkitkan oleh pambangkang, akan dijawab sepanjang tempoh kempen tersebut.

"Bagi saya, Tan Sri Isa dah jalani hukuman, kenapa nak hukum beliau dua, tiga kali. Apa juga isu di Bagan Pinang, sama juga seperti di Permatang Pauh, apa orang nak cakap, pengundi di sana tetap memilih (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

"Sama juga di Bagan Pinang. Bukan kita tak kisah dengan isu. Kita akan jawab isu itu (rasuah politik)," kata jurucakap Umno itu ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Bagaimanapun, katanya, suasana di Bagan Pinang setakat ini masih tenang tetapi pihaknya akan bersiap sedia untuk berdepan"isu-isu panas" yang mungkin ditimbulkan pembangkang.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004.

Isa memenangi jawatan naib presiden Umno bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi, iaitu undi tertinggi mengatasi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Bagaimanapun kemenangannya itu kemudiannya dibatalkan selepas didapati bersalah terhadap tuduhan amalan politik wang dalam pemilihan tersebut.

Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

Ekoran itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa Isa tidak seharusnya menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Isa yang juga bekas naib presiden Umno, yang mempertahankan kerusi tersebut, bakal ditentang oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

Mengulas lanjuut jurucakap Umno itu berkata beliau cukup optimis perjalanan kempen pilihan raya kecil itu akan berlangsung dengan baik.

"Isu-isu yang dibangkitkan akan ditangani dengan baik supaya pilihanraya kecil ini tidak dilihat kotor. Harap-harap begitulah," katanya.

Tiada ulasan: