HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 September 2009

Hasan: Tindakan saya pertikai Selcat adalah wajar

MSTAR ONLINE


SHAH ALAM: Sambil memperoleh mandat daripada Badan Perhubungan Negeri petang tadi, Pesuruhjaya PAS Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali menegaskan, kritikannya terhadap tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) adalah satu tindakan wajar.

"Adakah salah bagi seorang Exco untuk mencadangkan kepada Selcat agar mempertingkatkan kecekapan, keberkesanan imejnya dan penerimaan oleh publik," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat khas Badan Perhubungan PAS Selangor di sini.

Ia merupakan pertemuan kedua dalam tempoh 24 oleh pemimpin PAS negeri Selangor. Ia diadakan sehari sebelum Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mempengerusikan mesyuarat khas tiga penjuru.

Mesyuarat tiga penjuru itu akan berlangsung di sini malam esok.

Hasan berkata, Badan Perhubungan PAS negeri telah meluluskan enam resolusi termasuk yang berkaitan dengan kritikan terhadap cara beliau mempertikaikan tatacara Selcat dua minggu lalu.

Resolusi pertama diluluskan untuk memperakui dan menyokong beliau sebagai Pesuruhjaya PAS negeri dan Exco Kerajaan Negeri.

"Kedudukan sebagai Pesurujhaya negeri dibuat oleh Presiden parti manakala jawatan Exco dilantik oleh Menteri Besar," kata beliau sambil menambah, tiada pihak yang harus mempersoalkan kedua-dua jawatan itu.

Kata Hasan, PAS Selangor juga menerima cadangan beliau untuk memperbaiki prosedur-prosedur Selcat.

PAS Selangor juga bersetuju bahawa jika Selcat menerima pandangan Hasan, ia boleh berfungsi dengan lebih baik.

Hasan berkata, PAS Selangor akan meminta kerajaan negeri agar mengkaji jentera operasi Selcat untuk menerima penghormatan di kalangan rakyat.

Katanya, PAS negeri juga meluluskan resolusi bahawa ia akan tetap kekal bersama Pakatan Rakyat Selangor.

"Kami tidak akan meninggalkan Pakatan," katanya.

Satu lagi resolusi yang diluluskan berkaitan dengan saraan hubungan baik antara kerajaan negeri dan kakitangan awam.

"Hubungan antara kerajaan negeri dan pegawai-pegawainya mestilah harmoni sepanjang masa bagi menjamin kelancaran jentera kerajaan negeri," katanya.

Tiada ulasan: