HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 September 2009

Khalid: Isu kesetiaan halang pemimpin suara pendapat

Salhan K Ahmad


Isu kesetiaan kepada pucuk pimpinan parti menjadi penghalang kepada pemimpin-pemimpin PAS untuk menyuarakan pendapat mereka berhubung soal pentadbiran dalam kerajaan negeri Selangor, kata ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Khalid, yang sebelum ini meminta exco kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali, yang juga pesuruhjaya PAS Selangor meletakkan jawatan berkata beliau berhak menegur Hasan kerana beliau berhak untuk mengeluarkan pandangan sebegitu dan ianya bukanlah satu perbuatan yang mengingkari arahan pemimpin.

Hasan sebelum ini telah meminta Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dirombak kerana didakwanya telah 'memalukan' pegawai kerajaan.

Selcat mengadakan siasatan tersebut untuk menyiasat bagaimana wakil rakyat BN membelanjakan peruntukan tahunan RM500,000 dalam masa dua bulan sebelum pilihanraya umum pada Mac tahun lalu.

"Fahaman saya, tidak boleh ingkar arahan dan setakat ini tiada arahan berhubung perjalanan parti yang telah saya ingkari," katanya dalam satu kenyataan yang dimuatkan dalam blognya [www.khalidsamad.com] hari ini.

"Teguran dan ingkaran merupakan perkara berbeza. Namun menegur pemimpin, itu merupakan hak pengikut, lebih-lebih lagi apabila ianya kelihatan seperti menjejas kepentingan parti," katanya lagi.

Khalid turut berkata, tindakannya menggesa Dr Hasan meletakkan jawatan itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Perhubungan Negeri pada petang Ahad lalu.

'Jadi sasaran'

"...memang banyaklah yang dinyatakan, khususnya persoalan wala' (setia) kepada pimpinan yang masih merupakan isu terbesar bagi kebanyakan yang dipertua kawasan.

"Dalam persoalan ini saya sememangnyalah telah menjadi sasaran dan menjadi tumpuan teguran," katanya lagi dalam kenyataan tersebut.

Khalid turut membangkitkan hasil mesyuarat Konvensyen Pakatan Rakyat di Petaling Jaya pada awal bulan lalu yang merumuskan pemimpin-pemimpin Pakatan tidak akan mengeluarkan lagi apa-apa kenyataan yang "saling menyerang satu sama lain".

"Sekiranya mana-mana pihak melakukannya, maka tindakan disiplin perlu dikenakan atas orang berkenaan oleh partinya sendiri," kata Khalid yang juga merupakan pengerusi lajnah politik PAS.

Jelasnya lagi, tindakan Hasan "amat tidak wajar" dalam memberikan pandangan berhubung pendekatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dalam mengadakan pendengaran awam.

Menurut Khalid lagi, Hasan tidak sepatutnya mengkritik Selcat secara terbuka dan mengambil pendirian tunggal berhubung isu berkenaan.

"Yang menjadi masalah ialah apabila (Hasan) membuat kenyataan mengkritik Selcat secara terbuka dan mengambil posisi bersendirian dalam isu ini," kata Khalid lagi.

Pendekatan soal siasat

"Saya menyatakan, tidakkah lebih sesuai PJ mengatakan kami, iaitu PR, telah bersetuju untuk memperbaiki kaedah dan pendekatan soal siasat terhadap pegawai-pegawai kerajaan supaya tidak dilihat sebagai berniat menghina dan memalukan mereka?," soal Khalid.

"Sekiranya kenyataannya begitu, ianya tidak akan kelihatan seperti seolah-olah menempelak rakan lain di dalam PR dan PAS tidak akan dilihat sebagai menikam kawan dari belakang," katanya lagi.

Khalid berkata, pandangan Hasan tersebut dibuat tanpa mengambil kira tanggungjawab dan haknya sebagai anggota exco.

"Sebenarnya amat tidak wajar kalau kita sebagai seorang ahli Exco yang bermesyuarat dengan Exco tiba-tiba di luar mesyuarat menyerang kembali usaha kerajaan.

"Sekiranya sebagai back-bencher, tidaklah bermasalah sangat. Samalah juga seperti seorang ahli dewan harian, bermesyuarat dengan dewan harian, tetapi di luar bantai balik dewan harian.

Sesi pendengaran terbuka

"Kalau begitu patut keluar dewan harian (sepertimana persetujuan pelucutan jawatan saya sebagai timbalan pesuruhjaya) dan sekiranya dari luar, sebagai ahli perhubungan, berhak mempersoalkan keputusan dewan harian," katanya lagi.

Tambahnya lagi, beliau tidak pernah menggesa Hasan keluar daripada PAS mahupun Pakatan Rakyat, tetapi hanya meminta beliau meletakkan jawatan sebagai exco dan penyokong kerajaan negeri di dalam DUN.

Khalid turut menjelaskan, sesi pendengaran oleh SELCAT perlu diadakan secara terbuka kerana kaedah berkenaan lebih berkesan untuk mendapatkan pendedahakan dari pegawai kerajaan sendiri.

"Pendedahan oleh pegawai kerajaan sendiri adalah lebih berkesan dari sekiranya diadakan sesi tertutup dan kemudiannya maklumat disampaikan oleh kita kepada rakyat.

"Pihak tertentu boleh mengatakan ianya permainan politik dan pengakuan paksaan. Maka itu adalah lebih teruk, kita akan dikatakan sama sahaja dengan SPRM! Mengugut dan memaksa sehingga mendapat 'pengakuan'," katanya lagi.

Tiada ulasan: