Oleh ZULHISHAM ISHAK
PAPAR - Langkah berjaga-jaga terhadap penularan virus influenza A (H1N1) dapat memperlahankan gelombang kedua wabak tersebut yang dijangka mula melanda bulan depan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, gelombang kedua H1N1 dijangka membawa kesan yang lebih teruk memandangkan ia berlaku pada musim tengkujuh.
Katanya, ini kerana udara sejuk dan lembap semasa musim tersebut dikhuatiri akan mempercepatkan jangkitan itu.
''Jadi kita harap orang ramai tidak ambil mudah atau sambil lewa dengan perkara ini, utamakan aspek kesihatan dan jangan sesekali abaikannya, bersedia hadapi gelombang kedua H1N1,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di rumah terbuka Pembantu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar di Kampung Pengalat Besar, dekat sini hari ini.
Sehubungan itu, Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar mengingatkan orang ramai supaya tidak leka serta terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan risiko jangkitan virus H1N1 dalam kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, sebagai langkah pencegahan, orang ramai perlu memiliki kit pencegahan H1N1 yang mengandungi penutup mulut dan hidung, tisu dan pencuci antikuman.
''Kit pencegahan H1N1 perlu dibawa sekiranya kita ke tempat tertentu yang mempunyai ramai orang lebih-lebih lagi di kawasan tertutup, ini adalah langkah berjaga-jaga,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan