Oleh ZIEMAN
PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkataisu-isu yang berbau perkauman jika dibiarkan akan terus meruncing di negara ini.
Menurutnya, banyak faktor yang menjadi penyumbang ke arah itu.
"Di samping satu hakikat yang tidak boleh dinafikan, walaupun sekian lama kita berjaya membendung ketegangan, namun dalam masa yang sama masyarakat bukan Muslim dalam negara ini gagal difahamkan tentang ajaran Islam.
Mereka lebih melihat Islam itu menerusi unsur ‘perkauman Melayu'," katanya dalam satu kenyataan yang diemelkan kepada mStar Online hari ini.
Jelasnya, Islam ala 'Melayu' yang cuba diterapkan oleh sesetengah pihak telah menyebabkan sebahagian masyarakat bukan Melayu merasakan Islam di Malaysia seakan begitu 'eksklusif' untuk kaum Melayu.
"Apabila mereka menganut agama Islam, mereka seakan merasakan mereka menjadi Melayu, atau 'second atau third class' Islam sebab mereka bukan Melayu.
"Interaksi masyarakat Muslim dengan bukan Muslim di negara ini masih gagal membawa mesej Islam sebagai agama yang universal dan belas kasihan yang Allah hantar untuk setiap kaum," katanya.
Oleh yang demikian, beliau menegaskan kita perlukan pembaharuan dalam sistem penyampaian Islam di Malaysia, khususnya pihak berkuasa yang terlibat dalam bidang agama.
"Dahulu saya menulis ‘Keperluan Fekah Interaksi Dengan Bukan Muslim’ dan saya akan terus menegaskan hal ini.
"Seminar, wacana, dialog, penyampaian kuliah di masjid dan surau dan setiap ruang yang ada mesti digunakan untuk mengajar masyarakat muslim bagaimana berinteraksi dengan bukan Muslim secara yang dituntut oleh Islam," katanya.
Beliau berharap agar mesej Islam akan lebih jelas di sampaikan kepada mereka yang hidup berjiran dengan kita saban hari.
"Jika tidak, pihak berkuasa agama secara khusus, dan masyarakat muslim secara umum akan menanggung dosa kegagalan ini pada Hari Kiamat.
"Pihak kerajaan samada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat perlulah menyebar luaskan kefahaman masyarakat Islam tentang 'Fekah Interaksi Dengan Bukan Muslim'," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan