BERITA HARIAN ONLINE
PUTRAJAYA: Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menegaskan tiada negara termasuk Indonesia boleh mendakwa bahawa industri kain batik adalah hak mutlak dan warisan mereka.
Rais berkata, Indonesia tidak sepatutnya membuat tuntutan untuk mendapatkan pengesahan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) bahawa kain batik berasal dari republik itu kerana budaya dunia sentiasa berkembang.
Sebagai contoh, kata Rais, walaupun budaya pemakaian kain 'jeans' berasal dari Amerika Syarikat, negara terbabit tidak pernah membuat tuntutan untuk mendapatkan hak mutlak berhubungnya.
"Malah, seperti diketahui masyarakat umum bahawa umat Islam adalah orang pertama yang menggunakan kain kafan berwarna putih, namun mereka tidak pernah mengatakan kain putih itu milik mereka.
"Justeru, saya berpendapat Indonesia tidak wajar membuat tuntutan sedemikian kerana tiada sesiapa boleh mendakwa batik adalah hak mutlak mereka.
"Barang sesiapa berkata demikian maka mereka mempunyai niat yang tidak baik, tidak selari dengan nilai sejagat yang diamalkan di seluruh dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri bersama menteri kabinet di Seri Perdana di sini, kelmarin.
Beliau mengulas tindakan Indonesia mengemukakan tuntutan supaya Unesco mengiktiraf bahawa industri batik adalah hak mutlak dan warisan rakyat republik terbabit.
Kata Rais, industri batik juga sudah sekian lama berkembang pesat di Malaysia sehingga ia menjadi sebahagian cara hidup dan budaya di masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Malah, jelas beliau, industri batik juga banyak menyediakan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan kepada sebahagian penduduk di Malaysia.
"Saya ingin menyatakan secara jelas bahawa Malaysia mempunyai sistem seni budaya, rekaan dan motif batik tersendiri termasuk flora dan fauna yang tidak boleh dipertikaikan sesiapa pun," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan