HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 September 2009

Khir cabar Selcat bertindak terhadap Hassan, Iskandar

UTUSAN ONLINE


TANJUNG KARANG - Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) dicabar mengambil tindakan terhadap dua Exco kerajaan negeri daripada Pas yang mengkritik pelaksanaan jawatankuasa itu.

Cabaran itu dilontarkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo kerana katanya, beliau dan empat lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) telah digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mengkritik Selcat.

Katanya, kegagalan mengenakan tindakan terhadap pemimpin Pas merangkap Exco negeri, Datuk Dr. Hassan Ali dan Iskandar Abdul Samad yang mengkritik jawatankuasa berkenaan secara terbuka menunjukkan wujudnya tindakan berpilih di pihak Selcat.

"Pada 15 Julai lalu, saya digantung daripada menghadiri sidang DUN selama setahun kerana mengkritik Selcat dan empat yang lain digantung enam bulan. Elaun dan kemudahan kami sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut dihentikan sepanjang penggantungan itu.

"Jadi hari ini saya mencabar Selcat bertindak terhadap Hassan dan Iskandar. Jika tidak, ia jelas menunjukkan Selcat hanyalah alat politik pakatan pembangkang dan ia perlu dibubarkan," kata Mohamad Khir kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di sini hari ini.

Baru-baru ini, Hassan mengkritik secara terbuka pentadbiran kerajaan negeri terhadap pelaksanaan siasatan Selcat yang menyoal para pegawai daerah yang dipanggil menjadi saksi dalam pendengaran awam Selcat mengenai dakwaan salah guna peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

Menurut Hassan, cara siasatan Selcat yang dipengerusikan Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim tidak wajar kerana ia mengaibkan pegawai kerajaan negeri malah beliau juga mahu supaya rombakan dilakukan terhadap jawatankuasa itu.

Iskandar turut menyatakan pendiriannya menerusi laman blognya http://iskandar56100.blogspot.com/ yang mempertahankan kenyataan Hassan terhadap Selcat dan mempersoalkan kebebasan bersuara yang diperjuangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.

Menurut Iskandar, keadaan itu wujud apabila ada pemimpin cuba menyekat Hassan daripada bersuara dan memberikan pandangan dalam sesuatu perkara.

Dalam pada itu, Mohamad Khir yang juga ADUN Sungai Panjang turut memberitahu, kedudukan PKR, DAP dan Pas di Selangor dilihat semakin goyah berikutan wujud percanggahan pendapat dan matlamat.

Katanya, pakatan pembangkang tidak seharusnya bersikap menyalahkan orang lain terutamanya BN dalam setiap masalah dan kesulitan yang berlaku kerana ia berpunca daripada formula perkongsian mereka sendiri.

"Saya fikir adalah lebih baik bubar sahaja DUN dan adakan pilihan raya negeri. Biarkan rakyat beri mandat baru," ujarnya.

Tiada ulasan: