HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 September 2009

Lebih 100 Banduan Berpeluang Berhari Raya Bersama Keluarga

BERNAMA


ALOR SETAR -- Seramai 109 banduan di Penjara Pokok Sena di sini hari ini meraikan Hari Raya Aidilditri apabila diberi peluang untuk bersama keluarga masing-masing sempena hari terbuka penjara berkenaan.

Penolong Komisioner Penjara Pokok Sena Zawari Abd Rashid berkata, kesemua banduan yang diberi peluang bertemu kaum keluarga itu dipilih berdasarkan rekod dan kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Penjara.

"Mereka dibenarkan bertemu kaum keluarga masing-masing selama 45 minit pada hari ini," kata beliau kepada pemberita di sini.

Seorang penghuni penjara yang hanya mahu dikenali sebagai Beri berkata dia amat terharu apabila dipilih untuk berhari raya bersama keluarganya.

"Sudah dua tahun saya tidak beraya dengan keluarga, saat-saat inilah yang ditunggu-tunggu untuk bertemu dengan ayah dan ibu dan saya dapat mencium tangan mereka memohon maaf", katanya.

Ayahnya yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 62, berkata majlis bersemuka bersama keluarga sangat bermakna bagi dirinya kerana beliau terlalu rindu untuk memeluk anaknya.

"Pak Cik tak pasti adakah masih berpeluang untuk menyambut hari raya bersama anak apabila dia dibebaskan 10 tahun lagi dan inilah Aidilfitri yang paling seronok bagi pak cik...rindu sangat nak tengok dan berbual secara dekat dengan dia walaupun sekejap".

Tiada ulasan: