BERNAMA
KUALA LUMPUR -- Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bukan hanya merupakan satu platform kerjasama di kalangan ummah tetapi juga sebagai pentas bagi menangkis tohmahan yang mengaitkan Islam dengan kegiatan pelampau dan Islamofobia di peringkat antarabangsa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata persepsi negatif dan penghinaan terhadap Islam yang semakin berkembang itu bertambah buruk terutama terhadap umat Islam yang tinggal di Barat.
"Ia menjadi tanggungjawab ummah untuk menonjolkan imej sebenar Islam dengan menekankan nilai-nilai universal, pencapaian dan warisan yang kaya dalam agama suci ini, yang mengajar pengikutnya bersikap toleransi dan menghormati orang lain," katanya dalam mesej sempena ulang tahun ke-40 penubuhan OIC yang dikeluarkan di sini Jumaat.
Najib berkata selepas 40 tahun, OIC telah berkembang menjadi sebuah badan yang berkhidmat bagi melindungi kepentingan umat Islam dan apa yang menggembirakannya ialah "pertubuhan itu telah "secara aktif bergiat dalam mempromosikan kegiatan bagi mempertingkat kerjasama dan penyelarasan di kalangan 57 negara anggota yang mempunyai 1.5 bilion penduduk".
Bagaimanapun, Najib berkata dunia hari ini adalah sebuah tempat yang jauh berbeza berbanding 40 tahun lalu serta banyak cabaran baru muncul. Bagi OIC untuk kekal relevan dalam dunia globalisasi, teknologikal dan tanpa sempadan, ia perlu bergerak dengan keperluan semasa."
"Para anggotanya perlu bekerjasama, memaksimumkan penggunaan sumber secara bersepadu demi manfaat dan kebaikan bersama seluruh ummah. OIC perlu mengenal pasti cabaran-cabaran baru dalam era selepas 11 Sept bukan hanya dalam bidang politik dan keselamatan tetapi juga di dalam lingkungan ekonomi dan sosial," katanya.
Najib berkata OIC perlu memainkan peranan sebagai pemangkin dan penyedia bagi pembangunan ekonomi dan sosial di kalangan negara anggota yang kurang membangun dalam pertubuhan itu.
"Kita tidak boleh ketinggalan dalam peredaran dunia. Usaha bersama secara bersepadu diperlukan bagi menghapuskan belenggu kemiskinan yang masih melanda jutaan saudara seagama kita di seluruh dunia.
"Ia terserah kepada kita untuk membentuk nasib kita sendiri dan oleh itu kita mesti menanam cita-cita untuk maju tanpa bergantung kepada orang lain. Kemiskinan, kelaparan dan penyakit adalah musuh biasa kepada manusia," katanya.
Perdana Menteri berkata sementara masyarakat antarabangsa menangani masalah-masalah ini, OIC juga perlu memainkan peranannya.
"Sementara cabaran-cabaran itu begitu banyak, ia tidak boleh dibiarkan. Para anggota perlu merapatkan barisan bagi menanganinya demi manfaat generasi sekarang dan akan datang," katanya.
Mengenai isu Palestin, Najib berkata walaupun usaha di peringkat antarabangsa bagi menyelesaikan isu yang telah lama tertangguh, "kami kecewa dan terkejut berhubung keadaan yang teruk dan terus bergolak di kawasan yang diduduki rakyat Palestin."
Menyentuh mengenai peranan Malaysia dalam OIC, Najib berkata sebagai anggota pengasas pertubuhan itu, Malaysia telah memainkan peranan penting dalam penubuhannya semasa memegang kerusi pengerusinya dari Oktober 2003 hingga Mac 2008, Malaysia telah mengorientasi semula fokus pertubuhan itu daripada semata-mata berbincang mengenai isu politik tetapi kepada menitikberatkan isu-isu ekonomi dengan pendekatan yang praktikal bagi kemajuan ekonomi dan pelaksanaan projek-projek di negara-negara anggota.
"Sehingga ini, kerajaan Malaysia tetap komited bagi meningkatkan kerjasama ekonomi di kalangan negara-negara anggota dan menggalakkan dagangan di kalangan negara anggota OIC. Walaupun potensi dagangan itu pada masa ini berada pada tahap 16.7 peratus daripada jumlah dagangan dunia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan