HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 September 2009

Penyertaan F1 bakal kembalikan keyakinan terhadap Proton?

Neo Chee Hua


Apakah penyertaan Kejohanan Dunia Formula Satu (F1) bakal memanfaatkan Proton atau Lotus dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) automotif? Pertikaian ini berlanjutan memandangkan penyertaan F1 tidak bersamaan dengan keyakinan pengguna terhadap teknologi automotif Proton.

Hubungan F1 dengan pasaran

Pertama, pasukan kereta yang kecil sebegini tidak akan memperuntukkan wang yang lebih dalam R&D demi masa depan, malah lebih mungkin menggunakan penjana yang dibekalkan pasukan atau pengilang automotif lain. Penyertaan sebegini tiada kena-mengena dengan penerokaan teknologi canggih automotif.

Sebagaimana yang diketahui, pasukan lumba kereta F1 "1Malaysia" ini bakal melabur 10 juta pound (kira-kira RM57 juta) untuk meneroka enjin Lotus pada peringkat permulaan. Pelaburan dengan angka yang sekecil ini tidak akan menemui teknologi yang canggih. Ia sekadar "pembaikan enjin" agar memenuhi syarat kelayakan paling asas untuk meluncur di litar F1. Impian kerajaan untuk menjadi "peneraju teknologi automotif, dan bukan pengikut semata-mata" nampaknya tidak memijak tanah.

Keduanya, ranking dalam F1 tidak semestinya berkadar langsung dengan populariti di pasaran. Misalnya, pasukan Toyota yang tidak pernah tampil sebagai juara dalam tempoh tujuh tahun yang lalu, tetapi berjaya menumpaskan pesaingnya, General Motor di pasaran pengguna automotif. Dalam dunia realiti di luar litar F1, Toyota ialah juara pembuat dan pengeluar automotif.

Pada hakikatnya, banyak pengilang kereta bertaraf antarabangsa yang terkemuka di dunia seperti VW, Audi dan Mitsubishi tidak memiliki pasukan kereta lumba sendiri. Namun, pengilang automotif ini masih dapat menghasilkan kereta yang paling disukai, malah lebih laris daripada banyak pengilang kereta yang menyertai F1.

Selain itu, Hyundai dari Korea juga tidak menubuhkan pasukan untuk menyertai F1. Namun pengilang kereta Hyundai tetap menghasilkan produk yang baik, malah telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Tujuan iklan tercapai

Menurut penganalisa dalam bidang automotif, tidak dinafikan bahawa jenama Lotus telah dikenali ramai. Namun, kita perlu kembali ke alam realiti, bahawa Proton belum memahat nama di litar kereta lumba yang memerlukan kecanggihan teknologi. Lebih-lebih lagi, teras perusahaan Proton ialah kereta penumpang (passenger car) yang tidak sepadan dengan F1.

Penganalisa berpendapat, Proton seharusnya meneladani industri automotif moden yang menumpukan sumbernya untuk mengkaji model affordable car, dan bukannya menumpukan perhatian untuk membentuk persepsi bahawa kereta Proton berkeupayaan tinggi.

Proton Saga model baru, Exora MPV, Personal dan sebagainya yang dipasarkan baru-baru ini, mendapat sambutan yang memberangsangkan, lantas melambungkan graf penjualan kereta Proton dari jurang.

Pada detik saat Proton mula mendapat pelampungnya, ia seharusnya menggunakan dana yang ada dengan sebaik-baiknya. Proton seharusnya menerokai passenger car yang lebih mendampingi keperluan pengguna biasa, dan bukannya menghambat kepantasan dan keghairahan F1.

Tidak semestinya merangsang penjualan

Sememangnya, dana penyertaan F1 oleh Lotus di bawah Proton datang dari kerajaan dan sektor swasta. Sementara itu, kerajaan akan menyuntik dana kepada pasukan F1 1Malaysia melalui Proton. Dengan kata lain, Proton tidak perlu menggunakan wang sendiri untuk pasukan F1 ini.

Namun, seandainya dana yang dikumpulkan melalui kerajaan dan pihak swasta ini diperuntukkan untuk meneroka model kereta baru, ia mungkin memberi lebih sumbangan dengan mempertingkatkan Proton ke peringkat antarabangsa, setaraf dengan kereta moden sekarang.

Selain itu, F1 mungkin membantu untuk mempertingkatkan reputasi Proton di pentas antarabangsa, dengan menggunakan jenama Lotus. Namun, ini tidak bermakna pengguna akan menaruh keyakinan terhadap kereta Proton.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Airasia, Tony Fernandez (gambar di kanan) selaku Team Principal mungkin nampak kesempatan daripada pasukan kecil, Brawn GP yang bangkit mencipta keajaiban. Tony Ferdenandez mungkin berniat untuk menjadikan "F1 1Malaysia" satu lagi keajaiban sebagaimana yang dicapai Airasia.

Sememangnya, nama Lotus tidak asing untuk F1. Jenama yang bersejarah ini pernah memenangi kejuaraan berpasukan untuk tujuh kali dan juara pemandu untuk enam kali antara tahun 1963 hingga 1978. Kali ini, Malaysia menggunakan jenama Lotus dengan tujuan untuk menarik perhatian antarabangsa, dan Malaysia nampaknya berjaya mencapai matlamat tersebut.

Ia mungkin melakar nama Malaysia di mata dunia, dan merangsang aktiviti pelancongan (termasuk perkhidmatan pengangkutan udara dan hotel yang merangsang kesungguhan Tony Fernandez). Tetapi, ia tidak semestinya mengubah persepsi pengguna terhadap Proton.

Penjualan kereta Proton sebenarnya memperlihatkan kedinginan pasaran terhadap kereta ini. Menurut laporan kewangan Proton Holdings Bhd tahun 2009, sejumlah 156,845 unit kereta dijual pada tahun 2008, termasuk 18,428 unit kereta yang dieksport. Secara perbandingan, penjualan Toyota pada tahun 2008 ialah 8.97 juta unit di seluruh dunia, termasuk lebih 100,000 unit yang dieksport dari Jepun.

Di Britain, penjualan kereta Proton menurun dari 2,752 unit pada tahun 2002, kepada 1,518 unit pada tahun 2008 (hanya 0.07% daripada pasaran Britain). Sebaliknya, Hyundai dari Korea mencapai penjualan sebanyak 28,036 unit di Britain pada tahun 2008. Apa yang ebih teruk adalah, imej kereta Proton sangat negatif di mata Britain, diklasifikasikan sebagai kereta bermutu rendah berbanding dengan pesaingnya seperti Honda, Hyundai, Kia dan sebagainya.

Tiada ulasan: