HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 September 2009

Jangan jadikan HPV lesen hubungan seks bebas

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Pelbagai pihak menyokong pemberian suntikan pelalian Human Papillomavirus (HPV) secara percuma kepada remaja perempuan berusia 13 tahun di negara ini namun pada masa yang sama mengingatkan mereka bahawa ia bukan lesen untuk mengamalkan seks bebas.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, kajian menunjukkan hubungan seks pada usia terlalu muda menjadi antara punca seseorang wanita mendapat kanser pangkal rahim.

"Wanita yang kerap bertukar-tukar pasangan berdepan dengan risiko lebih tinggi mendapat kanser pangkal rahim disebabkan jangkitan virus HPV yang hanya tersebar melalui hubungan seks.

"Justeru, saya berharap inisiatif kerajaan ini tidak disalahtafsirkan oleh masyarakat sehingga mereka tidak mengendahkan bahaya hubungan seks bebas sekali gus menyebabkan ia semakin berleluasa di negara ini," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu, mulai tahun depan, seramai 300,000 remaja perempuan berusia 13 tahun di seluruh negara akan diberi suntikan pelalian HPV secara percuma bagi mencegah penularan kanser pangkal rahim.

Menurut beliau, pemberian vaksin berkenaan adalah di bawah Program Pelalian HPV yang diluluskan oleh Kabinet baru-baru ini dan melibatkan kos RM150 juta setahun.

Mohamad Ali menambah, kerajaan perlu berusaha meningkatkan kesedaran golongan remaja tentang bahaya kanser pangkal rahim memandangkan ia merupakan kanser kedua yang kerap berlaku di kalangan wanita selepas kanser payu dara.

"Sebagai contoh, pengetahuan tentang langkah-langkah pencegahan kanser tersebut boleh diterapkan dalam kurikulum mata pelajaran Sains supaya golongan remaja perempuan lebih menitikberatkan penjagaan kesihatan diri mereka," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan kerana sanggup memberi suntikan HPV secara percuma kepada remaja berusia 13 tahun mulai tahun depan.

"Ini satu inisiatif yang baik dan positif kerana pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan, memandangkan kanser pangkal rahim kerap berlaku di kalangan wanita di negara ini," kata beliau.

Dalam hal ini, menurutnya, kerajaan perlu meningkatkan pengetahuan orang ramai termasuk golongan ibu bapa yang tidak arif tentang bahaya kanser pangkal rahim dengan mengedar risalah-risalah berkaitan di sekolah dan tempat awam.

Tiada ulasan: