BERNAMA
JOHOR BAHRU: Walaupun Noordin Mohamad Top berjaya dibunuh dalam operasi pasukan keselamatan Indonesia baru-baru ini, tetapi kejayaan itu belum cukup untuk menjamin berakhirnya masalah keganasan di republik itu, kata seorang bekas pemimpin kanan Jemaah Islamiyah (JI).
Nasir Abbas, yang kini membantu pihak berkuasa Indonesia memerangi keganasan menerusi program pemulihan berkata, usaha yang lebih penting adalah untuk memperbetulkan fahaman ektremis di kalangan segelintir masyarakat negara itu.
"Masalah keganasan itu tidak akan hilang dengan kematian seorang, orang itu tidak penting tetapi fahamannya. Apa yang ada di dalam otak dan hati itu adalah lebih berbahaya dan boleh menjadi ancaman jika dibiarkan".
"Usaha membersih apa yang ada di dalam otak dan hati itu penting untuk menyekat fahaman (ekstremis)," kata warga Malaysia itu yang kini menetap di Jakarta dalam temuramah dengan Bernama menerusi telefon.
Ketika bergiat di dalam JI, Nasir yang menerima latihan ketenteraan di Afghanistan telah dilantik untuk mengetuai operasi kumpulan ektremis itu di Sabah, selatan Filipina dan Sulawesi.
Selepas ditangkap oleh pihak berkuasa Indonesia dan menjalani hukuman penjara, beliau aktif membantu pihak berkuasa negara itu dalam program-program pemulihan militan sehingga kini.
Menurut beliau, penyebaran fahaman ektremis berterusan di Indonesia ketika ini dan usaha perlu dilakukan untuk menanganinya
Noordin Mohamad Top atau Nordin Mat Top yang mengetuai kumpulan serpihan radikal JI dikenali "Tandzim Al-Qoidah Indonesia" terbunuh dalam satu operasi pihak berkuasa negara itu di Solo, Jawa Tengah, sekaligus menamatkan pemburuan selama enam tahun terhadap pengganas nombor satu Asia Tenggara itu.
Bekas akauntan itu didakwa bertanggungjawab merancang dan melaksanakan siri pengeboman di Indonesia, termasuk kejadian di Hotel Ritz Carlton dan Hotel J.W. Marriot, Jakarta Julai lepas yang mengorbankan sembilan orang.
Nasir berkata, beliau mengenali secara rapat Noordin ketika mereka sama-sama belajar agama di Madrasah Luqmanul Hakim di Ulu Tiram, Johor Baharu sekitar tahun 1996 dan 1997.
"Noordin yang saya kenali merupakan seorang yang peramah dan baik. Beliau juga merupakan seorang 'organiser' yang baik. Tidak sangka, beliau (Noordin) akan bertukar perwatakan," katanya.
Beliau berkata, Noordin mula terlibat dengan kegiatan militan JI pada sekitar tahun 2000 selepas direkrut oleh pemimpin kumpulan itu yang dikenali sebagai "Hambali" (Riduan Isamuddin).
Hambali ditahan oleh pihak berkuasa Thailand di Ayutthaya pada 2003, sebelum diserahkan kepada Amerika Syarikat dan sedang ditahan di Teluk Guantanamo, Cuba.
Ditanya sama ada Indonesia memerlukan undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sama seperti yang diamalkan oleh Malaysia dan Singapura untuk menangani masalah keganasan, Nasir berpendapat ia tidak perlu.
Katanya, walaupun tidak mempunyai undang-undang seperti ISA tetapi usaha yang dilakukan oleh Indonesia untuk menangani masalah keganasan di negara tersebut telah pun menunjukkan hasil positif.
Ramai di kalangan penganalisis keselamatan serantau berpendapat, salah satu faktor di sebalik kejayaan Malaysia dan Singapura menangani masalah keganasan di negara masing-masing adalah disebabkan kewujudan undang-undang seperti ISA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan