HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 September 2009

Perketat pemberian gelaran Datuk

UTUSAN ONLINE


KUALA TERENGGANU - Golongan berusia di bawah 40 tahun tidak wajar diberi gelaran Datuk atau Datuk Seri terutamanya jika mereka tidak memberi sumbangan besar kepada negara.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, faktor jasa dan sumbangan kepada negara perlu diambil kira oleh pihak istana sebelum memutuskan pemberian anugerah yang membawa gelaran tersebut.

Beliau berkata, faktor tersebut wajar diberi perhatian serius bagi memastikan institusi diraja terus dihormati masyarakat dan tidak diperlekehkan oleh mana-mana pihak.

"Kami menyokong ketegasan Datuk Dr. Rais Yatim dalam isu ini. Dulu mereka yang diberi anugerah Datuk atau Datuk Seri berdasarkan sumbangan besar kepada negeri dan negara.

"Sekarang berbeza, mereka yang baru berusia sekitar 30-an dah dapat Datuk atau Datuk Seri, apa sumbangan mereka kepada negeri dan negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini bahawa Jabatan Peguam Negara diminta memutuskan sama ada 'pembelian' gelaran seperti Datuk dari luar negara atau PhD secara ekspres merupakan perbuatan jenayah atau sebaliknya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Dr. Rais Yatim berkata, kegiatan membeli gelaran sosial semakin serius dan jika tidak ditangani akan melahirkan satu generasi ilmuwan palsu.

Pada masa sama, kata Syed Anuar, pihak berkenaan terutama jawatankuasa bahagian protokol istana dan semua pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) perlu telus serta teliti dalam memastikan masalah itu tidak berlarutan sehingga menjejaskan imej institusi diraja.

Beliau berharap supaya satu piawaian yang ditentukan oleh pihak berkenaan diwujudkan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak mendapat gelaran itu.

"Mungkin juga ada orang dalam yang buat, perkara ini perlu dilakukan dengan telus kerana kita mahu nilai darjah kebesaran ini sentiasa terpelihara dan dihormati semua pihak," katanya.

Tiada ulasan: