HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 September 2009

3 pemimpin Umno rebut jadi calon di Dun Galas

M Faqih



GUA MUSANG - Impian tiga pemimpin Umno Gua Musang untuk menjadi calon sekiranya berlaku pilihan raya kecil di Dun Galas, kini ibarat bermimpi di siang hari.

Bagaimanapun isu perebutan menjadi calon di antara mereka kini sudah jarang kedengaran setelah Adun Galas, Chek Hashim Sulaima semakin sihat.

Sedangkan sebelum itu, Ketua Wanita Umno bahagian, Wan Hazani Wan Mohd Nor, Ketua Pemuda, Bazlan Baharuddin dan seorang lagi pemimpin di peringkat bahagian telah melakukan gerak kerja di peringkat akar umbi dengan harapan mereka dicalonkan.

Usaha-usaha mendekati pengundi dilakukan sebaik sahaja mendengar berita Adun Galas sakit Mei lalu.

Seorang pemimpin masyarakat India di sini, Amran Abdullah berkata, ketiga-tiga pemimpin terbabit masing-masing melakukan gerak kerja mendekati pengundi di Dun Galas.

"Harapan mereka apabila berlaku kekosongan kerusi Dun Galas nama mereka akan disenaraikan.

"Maka tidak hairanlah sudah tiga kali khabar angin disebarkan dengan mengatakan Adun Galas meninggal dunia. Namun apa yang mereka harapkan itu tidak menjadi kenyataan," katanya di sini.

Bagaimanapun katanya kemunculan tiga pemimpin terbabit menyebabkan bekas Adun Galas, Mohd Saufi Deraman semakin terpinggir dan dikatakan membawa diri ke Kuala Lumpur.

Naib Yang Dipertua PAS Gua Musang, Hussin Embong juga mengakui Umno sudah melakukan gerak kerja parti dengan mendekati pengundi sejak awal lagi.

"Beberapa program bersama rakyat diadakan dengan harapan kalangan mereka dicalonkan sekiranya betul-betul berlaku pilihan raya kecil di Galas," ujarnya.

Sementara itu di Kota Bharu malam tadi, Adun Galas tiba dari China selepas menjalani rawatan lebih dua bulan di Hospital Orient dan The First People's Hospital Fu San di Guangzhou.

Beliau tiba dengan penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur bersama isterinya, Che Bongsu Junoh, Setiuasaha Kerja Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Haji Shamsuddin Mat Daud dan seorang pemimpin masyarakat Cina dari Gua Musang.

Beliau bertolak ke Guangzhou pada 23 Julai lalu bagi mendapat rawatan lanjut.

Chek Hashim yang menderita penyakit barah paru-paru kini semakin sihat dan menyatakan sudah mampu berkhidmat kepada rakyat.

Ketika ditemui beliau berkata, keadaan kesihatannya sekarang sudah bertambah baik dan semakin bertenaga.

Malah rambut mulai tumbuh semula di kepalanya setelah gugur ekoran rawatan kimoterapi yang dijalani sebelum ini.

Biarpun agak keletihan kerana bertolak di Guangzhong jam 10 pagi dan sampai di Kota Bharu 8.45 malam, namun beliau tetap ceria bersalam dan berpelukan dengan orang ramai yang menunggu kepulangannya.

Hadir sama menyambutnya, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat.

Manakala hampir 100 penduduk dan keluarganya dari Gua Musang termasuk masyarakat Cina datang sejak awal lagi.

Chek Hashim berkata, beliau begitu bersemangat untuk berkhidmat semula kepada rakyat selepas menjalani rawatan lebih dua bulan di China.

"Kalau keadaan yang mengizinkan saya juga akan ikut berkempen pada pilihan raya bagi membantu calon PAS pada pilihan raya kecil Bagan Pinang 11 Oktober ini,"katanya diikuti laungan takbir orang ramai yang hadir.

Chek Hashim dikesan menghidap penyakit barah paru-paru selepas batuk mengeluarkan darah. Ekoran itu beliau mendapat rawatan awal di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang dan sebuah hospital di Kuala Lumpur. - mks._

Tiada ulasan: