HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 September 2009

Pas Selangor sokong Hassan Ali

Oleh NOR SEDEK ISMAIL


SHAH ALAM - Pas Selangor memutuskan enam ketetapan termasuk menyokong cadangan Pesuruhjayanya, Datuk Dr. Hassan Ali supaya dilaksanakan penambahbaikan terhadap Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

Ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat yang berlangsung kira-kira tiga jam bagi membincangkan isu tersebut.

Bercakap kepada pemberita, Hassan berkata, sehubungan itu kerajaan negeri diminta segera mengkaji cadangan menambah baik perjalanan, pelaksanaan dan tatacara Selcat dalam menjamin kewibawaannya dan dihormati oleh rakyat.

Katanya, mesyuarat tersebut juga menerima dan bersetuju bahawa institusi seperti Selcat penting bagi menjaga prinsip keamanan, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam menguruskan kewangan negeri

''Institusi seperti ini boleh berjalan baik dan teratur seandainya cadangan yang dikemukakan Pas diambil kira,'' katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Pas Selangor, Mohd. Khairuddin Othman.

Menurut Hassan, mesyuarat bersetuju untuk terus mempertahankan kedudukan beliau sebagai Pesuruhjaya Pas negeri dan Exco kerajaan negeri.

''Ini kerana jawatan itu dilantik oleh Presiden parti dan jawatan Exco kerajaan negeri pula oleh ketua eksekutif maka ia tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak,'' katanya.

Hassan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri turut menegaskan bahawa Pas Selangor akan terus bersama kerajaan pakatan pembangkang.

Katanya, kerajaan negeri mesti menjaga hubungan dengan para pegawainya bagi menjamin kelancaran pembangunan dan pentadbiran negeri serta mempertahankan semangat setiakawan.

Hassan menjelaskan, beliau tidak mempersoalkan polisi Selcat tetapi mengemukakan cadangan untuk memperbaikinya supaya jawatan kuasa itu dipandang sebagai satu organisasi kerajaan yang dihormati rakyat.

Ditanya mengapa cadangan penambahbaikan itu tidak diajukan pada mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri, beliau berkata: ''Kita ada hak untuk bercakap kepada umum.

''Pengerusi Selcat, Teng Chang Khim juga membuat sidang akhbar, satu dunia tahu apabila disiarkan dalam Internet dan akhbar.''

Katanya, cara soal siasat oleh Selcat menyebabkan para pegawai daerah dan ahli keluarga mereka malu dan enggan bertemu orang ramai.

''Saya difahamkan isteri salah seorang pegawai daerah juga sudah tawar hati untuk bertemu masyarakat kerana imejnya tercalar gara-gara tindakan Selcat," katanya.

Sebab itulah katanya, beliau meminta agar satu prosedur yang lebih berperikemanusiaan dan menghormati satu sama lain perlu diwujudkan dalam Selcat.

Pendengaran awam Selcat itu diadakan bagi menjalankan siasatan berhubung wang peruntukan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari Januari hingga Mac bagi 2008 dan 2009.

Bagaimanapun Hassan mendakwa siasatan yang dijalankan itu menimbulkan aib kepada pegawai daerah yang dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi.

Ekoran itu beberapa pemimpin pakatan pembangkang melahirkan kekesalan terhadap Hassan malah ada yang meminta beliau melepaskan jawatan dalam Exco kerajaan negeri dan keluar daripada pakatan tersebut.

Tiada ulasan: