HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 September 2009

Hassan jangan campur urusan Selcat

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Exco kerajaan negeri, Datuk Dr. Hassan Ali diminta tidak campur tangan dalam urusan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) selepas ini.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, sebagai anggota majlis kerajaan negeri, Hassan harus faham yang dia sepatutnya tidak boleh masuk campur dengan urusan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ini termasuk Selcat yang ditubuhkan di bawah undang-undang DUN.

Malah, katanya, tindakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu mengkritik Selcat secara terbuka tidak patut dilakukan.

"Beliau sepatutnya jangan cakap atau kritik secara terbuka terutama yang melibatkan perjalanan DUN.

"Apabila beliau mengkritik secara terbuka mengenai Selcat, ini menyebabkan berlakunya salah faham dan sekali gus mengurangkan kewibawaan dan integriti Selcat.

"Saya juga ingin ingatkan yang Selcat ini dilantik daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan mereka ada tanggungjawab dan tugas mereka sendiri," kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Hassan baru-baru ini yang mahu Selcat merangka garis panduan yang betul ketika menyiasat pegawai kerajaan negeri.

Hasan menyatakan demikian apabila beberapa pegawai daerah yang menjadi saksi Selcat melahirkan rasa tidak puas hati dan terhina dengan cara jawatankuasa itu menyoal mereka.

Malah, salah seorang daripada mereka, Bakhtiar Hussin yang merupakan Pegawai Daerah Klang menyifatkan Selcat tidak mencerminkan proses siasatan sebenar.

Pegawai itu sebaliknya mendakwa siasatan Selcat lebih menjurus kepada serangan peribadi selain menjejaskan imej serta kredibiliti dirinya sebagai penjawat awam sejak 30 tahun lalu.

Bagaimanapun Santiago ketika diminta mengulas, perkara tersebut mempertahankan cara Selcat menyoal saksi-saksinya yang didakwanya mengikut standard antarabangsa dan Hassan yang tidak faham, tidak sepatutnya masuk campur.

"Sebenarnya cara Selcat ini adalah mengikut standard kerana jika kita lihat perbicaraan awam yang dijalankan di Amerika Syarikat lebih teruk kerana mereka mahu mencari kebenaran. Saya tahulah kerana 12 tahun saya tinggal di sana.

"Jadi saya rasa saksi-saksi Selcat ini jawab sahajalah apa yang ditanya," katanya.

Santiago juga mengingatkan yang beliau berkata demikian bukan bermaksud hubungannya dengan Hassan tidak baik.

Sebaliknya, kata wakil rakyat DAP itu, beliau memberikan teguran dan ingatan kepada Hassan yang disifatkannya kurang faham dengan tugas dan tanggungjawab Selcat.

Tiada ulasan: