HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 September 2009

Selcat: Mesyuarat khas PAS petang ini mahu lulus mandat sokong Hasan Ali

Dipercayai usaha mahu elak kemungkinan tindakan disiplin PAS pusat

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali mempengerusikan mesyuarat kedua dalam tempoh 24 jam - petang ini di Shah Alam - dipercayai strategi yang bakal memperkukuhkan kedudukan beliau dalam isu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat).

Malam tadi, PAS Selangor telah mengadakan mesyuarat Dewan Harian selama tiga jam yang berakhir kira-kira 12 tengah malam.

Petang ini pula kira-kira 50 hingga 60 pemimpin negeri itu akan menghadiri mesyuarat khas Badan Perhubungan Negeri, khusus untuk membincangkan isu Selcat.

Ia disahkan oleh Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir ketika dihubungi mStar Online.

Pertemuan hari ini diadakan sehari sebelum Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dijadual mempengerusikan mesyuarat tiga penjuru membabitkan anggota Selcat, Exco dan pegawai kanan kerajaan.

"Mesyuarat petang ini hanya akan memutuskan satu isu iaitu isu Selcat. Pertemuan ini akan meluluskan mandat untuk menyokong pendirian Datuk Hasan dalam isu Selcat ini," kata Roslan.

Salah seorang pemimpin PAS negeri, Khalid Samad yang merupakan Yang Dipertua PAS Shah Alam berkata, "kita kena melihat apa matlamat mesyuarat hari ini. Mesyuarat hari ini dikatakan mesyuarat khas, jadi sudah pasti ia akan membincangkan satu dua perkara penting."

Jelas beliau, jika mesyuarat hari ini bertujuan mendapatkan mandat bagi Hasan dalam isu Selcat, ia perlu dibincangkan secara mendalam.

"Kena tunggu lihat, saya pun tidak pasti... tidak tahu apa objektif. Jika ia mahu mendapatkan mandat, kita kena membincangkan secara mendalam," kata Khalid yang juga anggota Biro Politik PAS pusat dan Ahli Parlimen Shah Alam.

Khalid yang merupakan antara pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat yang mempersoalkan pendirian terbuka Hasan mempertikaikan tatacara Selcat menambah, "saya berharap saya dapat memberikan nasihat bahawa kita perlu ada perbincangan dan perundingan terlebih dahulu dalam isu-isu seperti ini sebelum memberikan kenyataan terbuka."

Mesyuarat Badan Perhubungan Negeri itu akan dihadiri oleh Yang Dipertua dan Setiausaha daripada 22 kawasan selain wakil Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat.

mStar Online difahamkan Hasan tidak akan menghadapi masalah atau halangan besar untuk mendapatkan mandat dan sokongan pemimpin-pemimpin negeri itu.

Bagaimanapun mesyuarat petang ini dipercayai akan panas berbanding pertemuan-pertemuan sebelum ini.

Sebahagian besar pemimpin berkenaan dikatakan menyokong pendirian Hasan dalam isu Selcat termasuk isu-isu lain berkaitan pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat, yang tercetus sejak 18 bulan lalu.

Mengulas lanjut, Roslan menambah, dengan keputusan yang bakal dicapai petang ini, maka tidak timbul soal bahawa Hasan yang juga Exco kanan Kerajaan Negeri Selangor, akan dikenakan tindakan disiplin oleh PAS pusat sebagaimana dilaporkan sebelum ini.

"Kita menjangkakan majoriti anggota Badan Perhubungan Negeri akan memberikan mandat menyokong Datuk Hasan.

"Oleh itu, isu kemungkinan beliau akan berhadapan dengan tindakan disiplin tidak berbangkit," katanya lagi.

Roslan menjelaskan, pada mesyuarat petang ini Hasan akan membentangkan kronologi isu Selcat dan laporan-laporan yang diterima daripada PAS kawasan.

Ahad lalu, Hasan, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor mempertahankan kritikan dilemparkan oleh pegawai-pegawai daerah Selangor sambil mengesyorkan agar format dan prosedur Selcat dikaji semula.

Hasan menambah, beliau sangat bersimpati dengan pegawai-pegawai berkenaan yang seolah-olah "dilayan sebagai budak sekolah."

Oleh itu beliau turut berhadapan dengan kecaman pemimpin Pakatan Rakyat termasuk dari PAS sendiri.

Difahamkan walaupun beberapa pemimpin dalam PAS mempersoalkan tindakan Hasan, Pesuruhjaya PAS Selangor itu terus menerima sokongan padu Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Nasharudin Mat Isa serta Ketua Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan Tantawi.

Jawatankuasa Kerja PAS pusat, yang dikatakan akan meminta penjelasan Hasan, dijadual mengadakan mesyuarat dalam tempoh dua minggu ini.

Tiada ulasan: