Azamin Amin
SEREMBAN : Ziarah Aidilfitri kali ini digunakan sebaiknya untuk 'berkempen' secara tidak langsung sekaligus memperkenalkan perjuangan Pakatan Rakyat kepada para pengundi yang akan melaksanakan tanggungajawab dan hak mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bagan Pinang, 11 Oktober ini.
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Omar berkata sungguhpun, nama calon diumumkan pada 29 September ini, namun gerak kerja penerangan dan 'kempen' tidak rasmi telah pun dimulakan kepada para pendokong Pakatan Rakyat dan penduduk setempat.
"Rumah terbuka PAS dan ahli-ahli, kita gunakan platform itu untuk memperkenalkan PAS dan Pakatan Rakyat kepada umum tentang perjuangan menuntut keadilan dan membela nasib rakyat,
"Ini Anugerah Allah beri kepada kita untuk membuat perubahan, oleh itu janganlah kita sia-siakan.
"Ini sebagai kayu ukur untuk melihat momentum rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang khas di Negeri ini, " ketika dihubungi Harakahdaily.
Sambil mengucapkan Salam Adifitri dan memohon maaf zahir batin kepada warga Negeri Sembilan khas di Bagan Pinang, Zulkifli mahu rakyat membuat pilihan yang tepat dan memilih keadilan Islam sebagai satu dasar perjuangan jelas.
"Diharapkan kemenangan Syawal akan turut dipanjangkan kepada kemenangan di Bagan Pinang kelak," katanya yang turut menyatakan hanya calon bersih, berwibawa dan diterima rakyat akan diketengahkan untuk bertanding nanti.
Sementara itu berhubung isu undi pos pula, beliau mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan 'polling' agent atau wakil parti masing-masing untuk berada sewaktu proses undian di buat di kem-kem terbabit.
Ini termasuk, mengira kertas undi pada hari yang sama kerana dibimbangi, akan berlaku manipulasi sekiranya ianya disimpan beberapa hari sebelum hari pengundian sebenar pada 11 Oktober itu.
Zulkifli berkata PAS mahu SPR turut membenarkan calonnya termasuk parti lawan diperkenalkan di kem-kem tentera dan balai polis supaya para pengundi pos ini dapat mengenali dengan lebih dekat bakal pemimpin mereka.
Dalam PRK kawasan parlimen Teluk Kemang pada tahun 2000, pembangkang dibenarkan untuk berkempen di kem tentera. Apabila peti undi dibuka, undi pos yang diperolehi PAS dan Umno tidak jauh berbeza. Sejak insiden itu berlaku, pembangkang tidak lagi dibenarkan untuk berkempen di kem tentera.
Selain itu, ketika ditanya berhubung kewibawaan dan pengaruh calon parti lawan, beliau berkata itu terpulang kepada Umno untuk menentukan siapa yang layak, kerana baginya yang penting adalah untuk memastikan kemenangan PAS semata-mata.
"Siapa pun calon, kita tidak kisah. Kalau calon ini (menyebut beberapa nama), kita akan ikut rentak dan gendang mereka.
"Lain calon, lain pendekatan yang bakal kita lakukan," katanya begitu optimis dengan peluang PAS untuk memenangi PRK kali ini.
Suruhanjaya Pilihanraya Raya Malaysia (SPR) menetapkan Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan pada 11 Oktober ini manakala penamaan calon ditetapkan pada 3 Oktober.
DUN Bagan Pinang mempunyai 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos,
8,577 atau 62.77 peratus pengundi di Dun berkenaan terdiri daripada kaum Melayu, 2,834 atau 20.74 peratus pengundi India, 1,498 atau 10.96 peratus pengundi Cina dan 755 atau 5.54 peratus terdiri daripada lain-lain bangsa.
Pada pilihan raya umum tahun lepas, allahyarham Azman Mohd Nor yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,333 undi, menewaskan calon PAS Ramli Ismail yang memperolehi 4,097 undi. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan