Jimadie Shah Othman
Arahan pertukaran dua imam Masjid Al-A'la di Behor Temak, Kangar, Perlis dibuat berdasarkan keperluan setempat, bukan kerana agenda mengembangkang fahaman Wahabi di negeri itu, jelas Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).
"(Mereka ditukar) berdasarkan keperluan di sana. Kadang-kadang hendak sesuaikan dengan keadaan di tempat berkenaan.
"Kalau suatu kawasan itu tidak ada calon imam, kita kena ambil dari tempat lain yang ada sampai tiga imam misalnya. Tidak ada masalah," kata pengarah JAIPs, Malik Hussin, yang menandatangan surat pertukaran mereka.
Beliau diminta mengulas dakwaan terdapatnya usaha mengembangkan aliran Wahabi - yang juga dirujuk sebagai "Sunnah Perlis" atau Salafi - melalui pertukaran imam di negeri itu baru-baru ini.
Dua imam terbabit - yang tidak mengamalkan fahaman Wahabi - telah menerima surat arahan pertukaran pada 18 Ogos lalu, yang didakwa bertujuan memberikan tekanan kepada mereka supaya melepas jawatan tersebut.
Sebagai tanda bantahan, ketiga-tiga imam masjid itu bertindak meletakkan jawatan sebagai pada 31 Ogos lalu
Difahamkan juga, kira-kira 200 penduduk di kariah tersebut turut menggantar memorandum bantahan kepada JAIPs berhubung perkara itu. Ia diposkan kepada JAIPs Sabtu lalu.
Tolak tanggapan
Selepas insiden di Masjid Al-A'la di Behor Temak, Kangar itu, imam di dua lagi masjid - Majlis Behor Empiang dan Masjid Jalan Guar Syed Alwi - didakwa telah mendapat teguran dan bakal menerima nasib yang sama.
Menurut sumber, walaupun negeri berkenaan menerima Sunnah Perlis dalam undang-undang tubuh Perlis, tetapi sejak 40 tahun lalu, ia tidak dikuatkuasakan.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Malik berkata, dakwaan itu tidak betul dan salah sama sekali.
Beliau sekaligus menafikan terdapat usaha mengembangkan ajaran Wahabi melalui pertukaran imam masjid yang tidak sealiran dengan fahaman itu.
"Kita tidak paksa ikut. Tidak betul (dakwaan itu). Sejak dari dulu lagi kena ikut keputusan majlis (MAIPs). Ini dasar yang diputuskan pihak berkuasa agama," jelas Malik.
Beliau yang juga setiausaha MAIPs berkata, dalam enakmen syariah negeri itu, telah termaktub bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah diterima sebagai fahaman rasmi di negeri itu.
"Kena ikutlah keputusan majlis agama. Perkara ini tertakluk dalam undang-undang tubuh negeri," katanya.
'Kita beri nasihat'
Ditanya tindakan yang mungkin dikenakan jika terdapat iman yang engkar dengan perkara itu, Malik berkata: "Kita nasihatlah kalau tidak ikut. Semua negeri lain pun macam itu."
Sementara itu, beliau juga berkata, pihaknya setakat ini masih belum menerima memorandum penduduk setempat yang tidak berpuas hati dengan penukaran imam di masjid tersebut.
Di Perlis, sejak dulu lagi, pertembungan antara pendukung Wahabi dan Mazhab Syafie sering berlaku ekoran negeri itu tidak mengamalkan mazhab fekah yang sama dengan negeri lain di seluruh Malaysia.
Perdebatan agama sentiasa tercetus apabila terdapat beberapa fatwa dan pengamalan fekah yang berbeza diamalkan, antaranya seperti melaungkan azan hanya sekali untuk solat Jumaat, tidak membaca talqin untuk jenazah dan tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh.
Aliran yang diasaskan oleh Muhamad Abdul Wahab di Arab Saudi pada 1701 itu turut popular di Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Somalia, Algeria, Palestin dan Mauritania.
Di Malaysia, ia dikembangkan oleh tokoh-tokoh Kaum Muda yang mendapat pendidikan agama di Timur Tengah sebelum kemerdekaan negara pada tahun 1957.
Asas-asal fahaman aliran ini dikembanggkan daripada pandangan-pandangan Ibnu Taimiyyah - tokoh pembaharuan Islam pada abad kelima selepas kewafatan Nabi Muhammad - yang membawa idea menyucikan agama dengan kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah, menggalakkan ijtihad dan menolak bid'ah dan tahyul dalam agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan