HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 September 2009

Dhaka, Yangon kini wujud di Jalan Silang?

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kebanjiran warga asing di negara ini terutama di ibu kota menyebabkan wujud lokasi-lokasi dikenali sebagai 'Bangla Town' dan 'Myanmar Town' yang menjadi pusat pertemuan golongan itu.

Lokasi seperti di Jalan Silang di antara Lebuh Pudu dan Jalan Hang Lekiu kini seakan-akan di Dhaka dan Yangon dengan kewujudan deretan premis perniagaan dipercayai milik warga asing berkenaan yang menguasai sekitar 80 peratus perniagaan di situ.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi itu semalam mendapati ramai warga Bangladesh, Myanmar dan Nepal memenuhi kawasan berkenaan sempena cuti umum Hari Raya Aidilfitri.

Terdapat beberapa premis seperti restoran dan kedai gunting rambut yang menggunakan bahasa asing secara terang-terangan pada papan tanda premis masing-masing menyebabkan pengunjung berasakan seolah-oleh berada di negara berkenaan.

Menurut beberapa pemandu teksi yang ditemui, premis-premis itu menjadi daya tarikan kepada warga asing semasa hujung minggu dan keadaan bertambah sesak pada cuti perayaan.

Bagi Suhaimi Awang, 51, yang telah memandu teksi selama tujuh tahun di sekitar ibu kota, keadaan di kawasan itu memerlukan pemerhatian daripada pihak berkuasa secepat mungkin.

"Dari tahun ke tahun saya dapati sedikit demi sedikit premis perniagaan di sekitar ibu negara mula dikuasai warga asing.

"Pelbagai nama kedai seperti Restoran Nepal dan Gurkha House boleh kita lihat di sini dan saya musykil adakah ia milik warga tempatan. Bagaimana mereka boleh mendapatkan lesen perniagaan.

"Jangan sampai peluang berniaga di ibu kota kepada warga tempatan akan hilang kerana kegagalan pihak berkuasa mengawal kehadiran pendatang asing di sini.

Seorang lagi pemandu teksi, N. Ravindran, 48, berkata, Kota Raya sering menjadi lokasi pergaduhan warga asing terutama menjelang waktu malam.

"Memang ada polis yang datang meronda, namun mereka masih berani bergaduh terutama apabila sudah mabuk.

"Malah ada pendatang asing ini yang muntah-muntah di dalam teksi saya selepas mengambil mereka di situ," jelasnya.

Utusan Malaysia juga mendapati kawasan-kawasan tumpuan warga asing di sekitar Kota Raya dan Puduraya turut dipenuhi sampah sarap.

Walaupun kelihatan kelibat beberapa petugas Alam Flora membersihkan kawasan, namun sampah yang bertaburan di jalanan cukup banyak.

Terdapat juga beberapa warga asing meludah merata-rata menyebabkan timbul keadaan yang tidak menyenangkan kepada pejalan kaki yang lain.

Tiada ulasan: