HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 September 2009

A(H1N1): Tiada kematian dicatatkan sejak 19 September

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Tiada kematian direkodkan hari ini akibat jangkitan Influenza A (H1N1) menjadikan hanya 77 kematian dicatatkan sejak 19 September lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata 282 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa influenza (ILI) dimasukkan ke hospital untuk dirawat dan 130 pesakit dibenarkan pulang.

"Ini menjadikan baki sebanyak 856 kes ILI yang sedang dirawat di 95 hospital termasuk 10 hospital swasta di seluruh negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata hasil ujian makmal hanya 178 pesakit atau 21 peratus yang mendapatkan rawatan didapati positif H1N1.

Katanya 19 kes atau 11 peratus kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu kemasukan baru, manakala tiga kes lagi dibenarkan keluar hari ini.

"Seramai 17 atau 90 peratus yang disahkan positif H1N1 dan sedang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko seperti kanakkanak bawah lima tahun (lapan), obesiti (empat), penyakit kronik (tiga) dan penyakit respiratori kronik (dua)," kata Dr Mohd Ismail.

Beliau turut mengingatkan bahawa penularan penyakit H1N1 dalam komuniti adalah masih aktif dan menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan jika mengalami simptom ILI.

Maklumat dan perkembangan terkini mengenai jangkitan Influenza A (H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang, melalui emel di cprc_h1n1@moh.gov.my serta laman web kementerian iaitu di http://www.moh.gov.my.

Tiada ulasan: