HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 September 2009

Mekanisme saring PhD wajar diperluas ke IPTS

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Beberapa tokoh akademik mahu mekanisme saringan bagi mendapatkan ijazah doktor falsafah (PhD) diperluaskan kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Sambil melahirkan kebimbangan mengenai ketiadaan saringan seperti yang dilaksanakan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), mereka berpendapat, langkah itu perlu bagi mengelak pemilikan PhD ekspres berlaku secara berleluasa di negara ini.

Tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, Kementerian Pengajian Tinggi harus mengesan dan mengawasi kegiatan pengeluar PhD palsu.

''Walaupun kebanyakan pemilik membeli dari luar negara, Kementerian Pengajian Tinggi harus ada peraturan yang ketat bagi mengawasi gejala ini.

''Masalah 'penjualan' PhD dari dalam negara ini belum dapat dipastikan lagi, cuma saya bimbang pengambilan tenaga pengajar dari golongan ini menular di IPTS disebabkan kita tidak pasti mereka membuat saringan seperti di IPTA.

''Kita tidak boleh suka hati bagi PhD kepada orang yang tidak layak atau memperolehinya dari universiti yang tidak diiktiraf,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kegiatan membeli gelaran sosial seperti Datuk atau PhD dari luar negara yang semakin serius serta dibimbangi akan melahirkan generasi 'ilmuwan palsu'.

Sementara itu, Canselor Universiti UCSI, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, mereka yang berkhidmat dengan pusat pengajian tinggi perlu menyerahkan salinan tesis PhD sebagai semakan dan rujukan kepada universiti.

''Tidak kira sama ada pensyarah atau memegang jawatan di bahagian pentadbiran, mereka perlu serah salinan tesis sebagai rujukan dan simpanan universiti bagi mengesahkan ketulenannya.

''Jika mereka didapati menipu, kita perlu tarik balik gelaran tersebut serta kenakan tindakan tatatertib,'' katanya.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah pula yakin IPTA bersih daripada golongan yang memiliki PhD 'ekspres' kerana mempunyai mekanisme saringan yang kukuh.

Katanya, di UiTM, latar belakang akademik setiap bakal tenaga pengajar di institusi itu disemak menerusi Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurut Ibrahim, masalah akan timbul apabila golongan ini bekerja dengan swasta atau bekerja sendiri dengan tujuan penyelewengan dan penipuan.

''Sukar untuk memastikan status ketulenan gelaran mereka jika tidak terikat dengan sebarang saringan seperti yang dilakukan oleh perkhidmatan awam.

''Mereka yang sengaja berlagak dengan gelaran palsu perlu diambil tindakan undang-undang kerana sudah pasti membawa kesan yang buruk kepada masyarakat," katanya.

Tiada ulasan: