KUALA LUMPUR: Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) yang dilantik untuk menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mesti menyokong dasar kerajaan, kata Ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir.
“GLC ditubuhkan oleh Umno untuk membantu ekonomi orang Melayu. Jika mereka menyokong atau condong kepada pembangkang itu memang tidak boleh," katanya ketika ditemui di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan seorang perwakilan yang mahu kerajaan menyingkir CEO yang menyokong parti pembangkang.
Gesaan ini bukan baru kerana setiap tahun dalam perhimpunan ada wakil yang mahu kerajaan bertindak ke atas CEO yang tidak menyokong polisi kerajaan.
Mukhriz yang juga timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata, setiap orang yang menjadi ketua GLC mesti mempunyai Indek Prestasi Utama (KPI).
“KPI akan dinilai dan dijadikan ukuran oleh kerajaan sama ada CEO berkenaan sesuai atau tidak,” katanya.
Ujar beliau, “saya bimbang jika mereka gagal menerajui GLC mereka akan menyalahkan Umno dan Barisan Nasional kelak.”
Sementara itu, bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh mempunyai pandangan berbeza mengenai pimpinan GLC yang tidak sehaluan dengan kerajaan.
Beliau berkata, "kerajaan perlu mendekati CEO berkenaan dan bukannya menghukum mereka. Mereka (CEO) mungkin baru dalam GLC berkenaan jadi belum tahu aspirasi kerajaan.
"Begitupun, kalau mereka menyokong pembangkang…..itu tindakan yang salah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan