HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Oktober 2010

Kerajaan Negeri Pandang Serius Nasib Pekerja Ladang

Oleh MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

SUNGAI BULOH – Kerajaan Selangor memandang serius nasib pekerja ladang kehilangan penempatan setelah majikan mereka menghentikan operasi perladangan dan membangunkan projek hartanah.

Sesetengahnya pula tidak diberikan pampasan yang sewajarnya selepas ditamatkan perkhidmatan sehingga mengetepikan kebajikan mereka.

Sekiranya perkara ini tidak diatasi dengan bijak, masalah kemiskinan luar bandar tidak mungkin selesai malah ia bertambah parah akibat ketamakkan pemilik ladang yang berlumba-lumba menukar status tanah mereka daripada pertanian kepada pembangunan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, bagi mengatasi kemelut ini, Kerajaan Selangor dalam perancangan untuk mewujudkan Enakmen Pekerja Ladang bagi memastikan pemilik ladang lebih bertanggungjawab ke atas kebajikan pekerja-pekerja mereka.

“Mana-mana yang mahu menukar syarat tanah daripada pertanian kepada pembangunan perlu mendapat kelulusan daripada Lembaga Ladang yang dipengerusikan oleh saya. Satu lagi syarat yang kita tetapkan dalam pertukaran syarat tanah itu ialah untuk memastikan pekerja-pekerja ladang mendapat pampasan sewajarnya selepas ladang ditutup dan ditukar syarat yang lain,” kata Exco Selangor itu.

Dr Xavier sewaktu meramikan rumah Program Kerajaan Prihatin di Kampung Melayu 13, Sungai Buloh

Beliau berkata, demikian sewaktu menyempurnakan majlis penyerahan kunci kepada 25 penerima bantuan rumah Program Kerajaan Prihatin di Lot 116, Kampung Melayu 13, Sungai Buloh semalam.

Beliau juga kesal kerana dalam Belanjawan Negera 2011 yang dibentang baru-baru ini, Kementerian Sumber Manusia tidak prihatin kepada isu perumahan pekerja ladang.

Malah lebih parah lagi apabila tiada peruntukan undang-undang menjaga kebajikan pekerja ladang sekiranya sesuatu kawasan ladang ditutup dan dimajukan dengan pembangunan hartanah dan sebagainya.

“Sebelum ladang ditukar milik kepada satu syarat yang lain, kita boleh gunakan beberapa klausa yang ada untuk pastikan ladang itu beri milik tanah kepada orang-orang yang bekerja dalam ladang, iaitu dalam payroll ladang itu saja,” katanya.

Jelasnya, kebajikan pekerja ladang itu mengambil kira beberapa faktor, antaranya keadaan kediaman rumah mereka, pampasan pemberhentian kerja dan jumlah pekerja ladang yang terbabit.


Tiada ulasan: