HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Oktober 2010

Laksana tender terbuka untuk projek besar – DAP


Tony Pua 1Oleh Rahmah Ghazali

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP-Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini mendesak agar pemberian projek-projek besar di bawah kerangka Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang baru dilancarkan, dibuat secara telus melalui tender terbuka berbanding rundingan terus.

Pua, yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, menyatakan hal ini kerana Perdana Menteri Najib Tun Razak dilaporkan berkata beberapa projek harus diberi secara rundingan terus.

Hujah Najib ini bercanggah dengan komitmennya sebelum ini yang mahu semua projek diberi melalui tender terbuka bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Ketika itu Najib merujuk kepada projek terbesar di bawah ETP, iaitu pembinaan sistem Mass Rapid Transit (MRT) bernilai RM46 bilion, di mana beliau mempertahankan keputusan memberi projek secara rundingan terus.

Menurut Pua, perdana menteri tersilap mengenai sistem tender terbuka kerajaan apabila beliau menyatakan bahawa proses ketelusan tidak semestinya dapat diperolehi melalui rundingan terus.

"Masalahnya ialah supaya kerajaan mendapat nilai maksimum dari kos paling rendah dan bukan dengan memberi projek mega secara rundingan terus kepada sebuah konsortium milik swasta.

Konsortium ini kemudiannya menender kerja-kerja tertentu untuk memaksimakan untung dan bukannya kerajaan yang mendapat untung," kata Pua.

"Soalan yang kita ingin bertanya di sini ialah, ketika pihak konsortium swasta memaksimakan untung untuk para pemegang saham, kenapa tidak kerajaan memaksimakan nilai dan pulangan untuk para pembayar cukai?," soal beliau.

Idris cemar reputasinya sendiri

Pua turut meluahkan rasa kecewa terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala, di mana beliau mendakwa, telah mencemar reputasinya sendiri dengan mempertahankan ketuanya.

Kata Idris, "rundingan terus boleh mengurangkan harga jika kita tahu apa yang kita lakukan."

Pua berkata, jarang sangat berlaku pemberian projek yang tidak kompetitif boleh diperolehi dengan harga yang lebih rendah dari projek yang kompetitif.

"Kedua, rundingan boleh dilakukan selepas pembida terbaik dipilih dari tender yang kompetitif," katanya, menambah pengalaman dari rundingan terus selalunya berakhir dengan harga yang lebih tinggi, bukan lebih rendah.

Beliau memberi contoh di mana kos projek melambung tinggi menerusi rundingan terus seperti pembinaan istana baru di Jalan Duta, di mana nilai kontrak meningkat dari RM400 juta kepada RM900 juta kerana tambahan kerja (variation order).

"Dakwaan Idris bahawa projek pengangkutan yang baik seperti MRT tidak boleh dibuat secara tender terbuka kerana kos projek terlalu mahal yang perlu dibiayai oleh syarikat swasta kerana negara-negara lain pun berbuat begitu, tidak masuk akal dan tidak benar.

"Oleh sebab projek seperti MRT memerlukan dana kerajaanlah maka ia perlu dibuat secara sistem tender terbuka untuk memastikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan nilai terbaik untuk wang pembayar cukai."

Singapura dan Hong Kong menurut beliau, memberi contoh yang baik dengan mengamalkan ketelusan dalam projek MRT mereka.

"Saya tidak tahu, negara mana yang menjadi rujukan Idris, tapi kedua-dua Singapura dan Hong Kong yang mempunyai sistem MRT bertaraf dunia menjalankan tender terbuka sebelum pembinaannya pada 1982 dan 1975," katanya.

Tiada ulasan: