HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 Oktober 2010

Sharizat: Pembangkang jaguh retorik,bersifat politikus bermusim


Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil Oleh Fazy Sahir

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan pemimpin pembangkang hanyalah sebagai ‘politikus bermusim’ yang hanya membawa agenda utama dalam memporak-perandakan negara.

Menurutnya, niat utama ahli-ahli politik pembangkang bukan berpaksikan kestabilan negara tetapi lebih kepada mencari alternatif membawa agenda mereka ke Putrajaya.

"Nawaitu utama beberapa personaliti pembangkang bukan untuk kesejahteraan dan kestabilan Malaysia, tetapi hanya satu iaitu untuk diri sendiri mencari jalan ke Putrajaya.

"Mereka tidak peduli terhadap kemalangan ngeri yang berlaku di atas jalan raya politik, rakyat terkorban dan rakyat yang dikorbankan," katanya dalam ucapan dasar perhimpunan agung Pergerakan Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Katanya lagi, rakyat kini semakin dahagakan kepimpinan Barisan Nasional.

Janji-janji manis ditaburkan pembangkang ketika pilihan raya umum ke-12 hanya dusta semata, dan rakyat terus diabaikan.

"Cukup menyayat hati kerana di kawasan-kawasan pembangkang rakyat terbiar selepas tsunami politik tahun 2008.

"Umpama cinta monyet, pengundi ditabur kata-kata manis, dinodai dengan asmaradana dan khayalan fantasi politik yang memabukkan.

"Jelas dengan tabiat pembangkang, mereka hanya pandai mengkritik dan jaguh retorik dan gimik semata-mata," kata beliau.

Tiada ulasan: