KUALA LUMPUR— Satu jawatankuasa khas di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) perlu ditubuhkan bagi menjaga kebajikan dan mendekati para penuntut Melayu di Timur Tengah.
Wakil Pulau Pinang Shahbuddin Yahaya berkata jawatankuasa khas itu yang anggotanya terdiri pelbagai agensi dalam JPM akan berperanan untuk meneliti, merancang dan menyelaras isu-isu pembangunan pendidikan pelajar berkenaan, sekaligus mengeratkan hubungan dengan mereka.
“Mereka adalah aset negara kerana sebahagian mereka bakal mendidik anak bangsa dan mengurus tadbir institusi Islam di Malaysia termasuk bidang kehakiman syarie.
“Insya-Allah, dengan penubuhan jawatankuasa ini tiada lagi isu yang mengaitkan pelajar lulusan Timur Tengah tidak menyokong kerajaan,” katanya semasa membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno 2010 hari ini.
Shahbuddin berkata jawatankuasa khas itu juga boleh memberi maklumat berhubung pembangunan kerjaya di dalam negara dan bukan sekadar menjadi imam dan guru agama.
Katanya mereka sebenarnya mempunyai pelbagai pilihan kerjaya seperti menceburi institusi kewangan dan perbankan Islam atau menjadi usahawan Muslim berjaya dalam bidang pelancongan di Timur Tengah.
Selain itu, Umno Pulau Pinang turut mencadangkan supaya usaha pengukuhan institusi Islam seperti Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sistem kehakiman syarie perlu diteruskan.
Shahbuddin juga mencadangkan supaya kerajaan menyegerakan penubuhan Mahkamah Rayuan Syariah di peringkat persekutuan untuk memberi keadilan dan memperkemaskan urus tadbir sistem kehakiman syariah negara ini serta pengiktirafan kepada hakim-hakim syarie.
Beliau turut memuji pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2011 minggu lepas untuk menaikkan elaun bulanan imam daripada RM450 kepada RM750 sebulan dan guru Kemahiran Asas Fardhu Ain (Kafa) daripada RM500 kepada RM800 mulai Januari ini.
“Walaupun ada antara mereka menyokong pembangkang, tetapi peruntukan itu diberi semua,” katanya merujuk ketelusan Najib membantu golongan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan