HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Oktober 2010

Najib tinjau seluruh negara tahun depan, dilihat bayangan PRU-13

TERKINI

KUALA LUMPUR – Dilihat sebagai bayangan persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau akan mengadakan tinjauan ke seluruh negara untuk bertemu dengan ahli-ahli Umno dan rakyat mulai tahun depan.

Najib mengumumkan programnya itu ketika banyak pihak mengandaikan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan suku kedua tahun depan walaupun mandat semasa hanya akan berakhir Mei 2013.

Ia dilihat sebagai kunjungan menyeluruh pertama beliau sejak dilantik sebagai perdana menteri 18 bulan yang lalu.

Beliau telah pun mengunjungi sebahagian besar negeri sebelum ini.

“Mulai tahun depan, saya mengambil keputusan bersama timbalan presiden, kami akan turun ke negeri-negeri... kami akan berjumpa ahli-ahli Umno dan rakyat, saya mahu Umno sediakan, lawatan kedua-dua kami supaya lawatan ini cukup memberangsangkan.

“Balik ini buat persiapan, persiapan di negeri (masing-masing),” kata beliau yang juga Presiden Umno ketika menutup Perhimpunan Agung Umno 2010 kira-kira 6 petang tadi.

Bagaimanapun Najib tidak menyebut tarikh khusus dan negeri pertama yang akan dikunjungi bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri.

Cuma beliau meminta agar kepimpinan Umno negeri membuat persiapan.

Beliau juga mengumumkan akan melakukan perubahan kepimpinan negeri selepas ini.

“Saya akan membuat perubahan kepimpinan peringkat negeri. Moga dengan susunan yang akan datang ini, akan lengkapkan persediaan kita, saya akan berunding dengan timbalan presiden dan naib-naib presiden, saya nak kita cukup kuat.

“Jadi, kita akan turun padang dan sentiasa berada di padang,” kata beliau.

Pada Rabu lalu, perwakilan Pemuda Umno dari Kedah menggesa agar kepimpinan parti menukar pengerusi-pengerusi perhubungan yang ‘diimport’ dari negeri lain sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal dari Sabah kini merupakan pengerusi Umno Kedah.

“Datuk Seri Shafie ini orang hebat, dia mampu menangkan negeri Kedah ini. Tapi kita kena realistik.”

Shafie dilantik sebagai pengerusi Kedah bersama dengan dua naib presiden lain iaitu Datuk Seri Hishammudin Hussein dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masing-masing menerajui kepimpinan Umno Terengganu dan Pulau Pinang.

Najib pula merupakan pengerusi Umno Selangor manakala Muhyiddin mengetuai Umno Wilayah Persekutuan.

Perhimpunan Agung Umno sejak 19 Oktober lepas bermula dengan perasmian serentak tiga sayap parti iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri oleh Muhyiddin manakala Perhimpunan Agung Umno dirasmikan Perdana Menteri kelmarin.

Dalam ucapan penutup, Najib juga berkata, model politik baru yang diusulkan beliau baru-baru ini akan bertemakan “Umno Dahulukan Rakyat”.

Dengan mengambil kira elemen itu, Presiden Umno berkata, pihaknya telah memulakan usaha dengan meminda perlembagaan parti tahun lalu.

“Kita sudah memulakan transformasi dengan kita meminda perlembagaan,” kata beliau dengan menekankan bahawa dalam sejarah enam dekad lalu Umno telah melalui tiga detik penting iaitu penubuhan parti, parti diharamkan dan pindaan perlembagaan tahun lalu.

Pindaan perlembagaan telah membolehkan sistem kuota dimansuhkan dan pucuk kepimpinan pusat dipilih oleh 140,000 ahli bukannya 2,500 perwakilan.

Menurut Najib, model politik baru Umno akan bertunjangkan tujuh teras iaitu mengutamakan maruah dan kepentingan parti berbanding maruah dan kepentingan diri, bekerja sebagai satu pasukan besar, memenangi pemikiran hati dan jiwa rakyat dengan amalkan aspek inklusif, muncul juara media baru, memikat pengundi baru, menuju sifar masalah dan Umno mesti mendahulukan rakyat.

Tiada ulasan: