KUALA LUMPUR — Dua penuntut Universiti Malaya (UM) dikenakan hukuman gantung pengajian satu semester berhubung kesalahan memalsukan sijil sakit ketika pemilihan kampus pusat pengajian tinggi itu bulan lalu.
Daripada dua pelajar itu, seorang telah memenangi kerusi umum Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM manakala seorang lagi bertanding di peringkat fakulti tetapi gagal.
Yang Dipertua MPPUM Mohd Syahid Mohd Zaini ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, kedua-dua mereka dikenakan hukuman itu semalam atas alasan mengemukakan surat sakit yang tidak sahih selepas gagal menghadiri bengkel pilihan raya kampus yang diadakan menjelang pemilihan kampus.
Kedua-dua pelajar terbabit adalah penuntut tahun kedua dengan masing-masing menuntut di Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sastera.
Usaha The Malaysian Insider menghubungi kedua-dua pelajar masih belum berhasil.
Selain dikenakan hukuman gantung satu semester, mereka juga diberi amaran dan didenda RM200.
“Kami difahamkan pengurusan mengambil tindakan atas alasan tindakan mereka telah memalukan universiti, kerana memalsukan dokumen,” katanya.
Mohd Syahid berkata pihaknya terkejut kerana tindakan itu hanya diambil sekarang, kira-kira sebulan selepas pemilihan kampus.
“Kami sebenarnya terkejut kerana mengapa tindakan tidak diambil semasa kempen, semasa pemilihan tetapi hanya sekarang, ada yang tidak kena... tindakan diambil kerana ada pihak yang membuat aduan,” katanya lagi.
Mohd Syahid berkata, berdasarkan maklumat yang mereka terima, kedua-dua menggunakan sijil sakit yang sah daripada klinik swasta.
“Dalam kes pelajar, wakil MPP, saya dimaklumkan doktor yang awalnya mengeluarkan sijil sakit juga mengesahkan dia sakit, tetapi kemudian mengubah pendirian,” kata Mohd Syahid.
“Memang wakil MPP itu datang masa bengkel tetapi telah balik ke rumah kerana kurang sihat, dan telah memberikan sijil sakit kepada universiti, yang diperoleh dari klinik swasta,” katanya.
“Sedangkan (bekas) calon peringkat fakulti pula telah balik ke rumah kerana ibunya sakit, dan dia pun dikatakan kurang sihat dan kemudian mengemukakan sijil sakit,” kata Mohd Syahid.
Justeru kata beliau, pihaknya akan membuat pendirian mengenai isu tersebut pada petang ini.
MPPUM adalah antara pemilihan kampus dikuasai oleh kumpulan pelajar Pro Mahasiswa pada pilihan raya kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan