KUALA LUMPUR: Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Zabidie Abas berkata, peneroka Felda dibeban dengan pelbagai jenis hutang, termasuk hutang sara hidup tanpa diberi penyata kewangan yang telus.
Menurutnya, hampir keseluruhan kawasan Tanah rancangan Felda berhadapan masalah tersebut, menyebabkan peneroka menanggung hutang sehingga menjangkau RM70,000-RM80,000 ribu selepas proses tanam semula.
“Peneroka diberi hutang pinjaman sara hidup RM1,500 setiap bulan dalam tempoh tiga tahun. Masuk tahun ke empat, peneroka sepatutnya tidak ambil bantuan sara hidup sebagai hutang.
“Tetapi masuk tahun ke enam pun peneroka masih diberi bantuan sara hidup walaupun tanaman mereka telah mengeluarkan hasil. Penyata tahunan hutang peneroka tak diumumkan Felda. Hasil (pendapatan) itu ke mana perginya,” ujar beliau kepada Keadilandaily.com.
Keadaan itu, kata Zabidie menyebabkan peneroka yang majoritinya warga emas, terpaksa menanggung beban hutang berpuluh ribu ringgit yang disifatkan tidak mungkin dapat diselesaikan sehingga generasi ketiga.
“Felda ibarat lintah darat yang mencengkam dan menindas peneroka, pada masa yang sama merompak hak peneroka,” tambah beliau yang juga Pengerusi Biro Felda Keadilan Johor.
Zabidie mengulas kenyataan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang disiar akhbar milik Umno, Utusan Malaysia, bahawa gesaan Anak untuk melupuskan hutang pinjaman sara diri berjumlah RM500 juta, bermotif politik.
Menurut Zabidie, Isa yang baru sahaja memegang jawatan berkenaan tidak mengetahui tentang masalah sebenar yang dialami masyarakat Felda.
“Kalau Felda boleh bagi penyata dengan telus, kita boleh terima. Isa tidak tahu beban hutang yang ditanggung peneroka.
“Hutang sara hidup ini tidak termasuk caruman pengurusan ladang sekitar RM17,000 selepas tanaman semula seperti kos tebang, menanam benih dan sebagainya dalam tempoh tiga tahun yang tidak dikembalikan kepada peneroka.
“Sepatutnya kerajaan membela dan berpihak kepada rakyat, tetapi sebaliknya kerajaan berpihak kepada Felda,” ujar beliau yang juga anak jati Felda.
Ketika ditanya hasrat untuk menghapuskan Felda Plantations, Zabidie berkata Pakatan Rakyat serius untuk menghapuskan Felda Plantations, bagi menyerahkan semula tanah kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
Pada awalnya, kata Zabidie, Felda Plantations, yang membuka ladang-ladang baru di kawasan Felda, menggunakan khidmat peneroka tempatan untuk menjalankan kerja-kerja ladang.
Namun lama kelamaan,Felda Plantations mula menggunakan khidmat pekerja warga asing, menyebabkan hak generasi Felda terus dipinggirkan.
Malah katanya, terdapat di kalangan peneroka yang tidak tahu bahawa mereka turut menangung kos pengurusan ladang oleh Felda Plantions, selepas pembukaan ladang-ladang baru tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan